Sunday, 26 June 2022
updated 5:27 PM UTC, Jun 26, 2022

COVID-19

  • AS luluskan penggunaan pil anti COVID-19

    AMERIKA SYARIKAT, 24 Disember- Amerika Syarikat meluluskan penggunaan pil anti Covid-19 bagi golongan berisiko dan yang berusia 12 tahun bagi mengekang lonjakan kes jangkitan varian Omicron.

    Paxlovid, yang merangkumi dua jenis tablet, diberikan kelulusan penggunaan kecemasan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) selepas kajian klinikal membuktikan ia berupaya mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian.

    Amerika Syarikat setakat ini membelanjakan 5.3 bilion dolar bagi proses perolehan 10 juta rawatan lengkap menggunakan pil Paxlovid, dengan penghantaran pertama merangkumi 265 ribu bakal dilaksanakan pada Januari ini.

    FDA menegaskan rawatan menerusi pil berkenaan sepatutnya menjadi pelengkap, berbanding dianggap pengganti vaksin yang sehingga kini kekal sebagai sandaran utama dalam memerangi Covid-19.

    Sementara itu, badan kawal selia ubat Kesatuan Eropah (EU) minggu lalu membenarkan negara anggota menggunakan pil keluaran Pfizer bagi membendung gelombang jangkitan varian Omicron.

    Kebenaran itu diberikan susulan peningkatan kes di Amerika Syarikat yang berpunca daripada varian itu.

  • COVID-19: 3,856 kes baharu hari ini, menurun berbanding semalam - KP Kesihatan

     

    KUALA LUMPUR, 23 Januari- Sebanyak 3,856 kes baharu COVID-19 dicatatkan hari ini menurun sedikit daripada 4,116 kes semalam menjadikan kes kumulatif wabak itu kepada 2,832,945 setakat 12 tengah hari.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 35 (0.9 peratus) daripada jumlah kes baharu itu adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala 3,821 kes (99.1 peratus) terdiri daripada Kategori Satu dan Dua.

    "Daripada 3,856 kes itu, sebanyak 492 adalah kes import dan 3,364 pula adalah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 121 kes dengan 43 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

    Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,814 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih setakat ini ialah 2,755,933 orang.

    Katanya sebanyak 13 kluster baharu direkodkan dengan 235 kluster masih aktif.

    Sementara itu, Dr Noor Hisham sekali lagi menyeru orang ramai yang langsung belum mendapat vaksin COVID-19 supaya berbuat demikian dengan mendaftarkan diri mereka untuk mendapatkan janji temu vaksin.

    "Bagi yang telah mendaftar, Kementerian Kesihatan memohon agar anda hadir ke janji temu itu demi melindungi diri anda dan orang tersayang," katanya.

    Bagi mereka yang telah mendapatkan vaksin pula, dinasihat mengambil dos penggalak agar dapat melindungi orang sekeliling daripada jangkitan wabak itu. - BERNAMA

  • COVID-19: 33 bayi antara yang dijangkiti di Sabah

    KOTA KINABALU, 14 Februari - Sabah merekodkan sebanyak 518 kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak dengan 33 kes daripadanya melibatkan bayi pada 12 Februari 2022.

    Menurut  Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun, kes tersebut merupakan rekod yang tinggi dilaporkan dengan 156 kes melibatkan kanak-kanak berusia satu hingga lima tahun manakala 329 kes lagi membabitkan kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun.

    Jurucakap COVID-19 itu berkata kesemua mereka masih belum menerima vaksin COVID-19.

    “Amatlah dianjurkan agar para ibu bapa dan pengurusan sekolah mengambil langkah perlu untuk mengurangkan risiko jangkitan ke atas anak-anak kecil apatah lagi mereka yang belum layak diberi vaksin,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.


    FOTO FACEBOOK KKM

    Dalam pada masa yang sama, Masidi memaklumkan lima daerah mencatat kes tertinggi pada Ahad iaitu Kota Kinabalu dengan 914 kes, Sandakan (478), Tuaran (414), Penampang (389) dan Papar (256).

    Katanya, kes jangkitan secara sporadik dikesan menerusi saringan bergejala menjadi faktor dan penentu utama jumlah kes di daerah-daerah mencatat kes harian yang tinggi dengan 58.52 peratus daripada kes yang dilaporkan pada Ahad.

    “Kita boleh rumuskan bahawa peratusan jangkitan secara sporadik yang tinggi adalah penyebab kepada perebakan virus yang begitu cepat dan meluas serta akan menjadi faktor penentu kepada jumlah kes baharu dalam masa terdekat,” katanya.

    Menurutnya, sebanyak 3,891 kes COVID-19 dengan lima kes kematian akibat pandemik itu direkodkan pada Ahad manakala 620 orang sembuh dan 2,776 pesakit sedang menerima rawatan.

  • COVID-19: 36 Kes dikesan babitkan kluster di SMK Tambunan

    KOTA KINABALU, 16 Januari -Sebuah kluster COVID-19 dilaporkan berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Tambunan dengan 36 kes dikesan setakat hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.


    Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata kluster institusi pendidikan tercetus di asrama lelaki sekolah berkenaan dan kes indeks merupakan pelajar berusia 18 tahun yang disahkan positif pada 13 Jan lepas melalui ujian saringan kendiri.

    “Hasil saringan kontak rapat terhadap rakan asrama juga mengesan 35 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif kluster ini sebanyak 36 kes. Semua kontak yang positif telah diasingkan dan diberi rawatan yang sesuai.

    “Siasatan lanjut yang dibuat menunjukkan setakat ini, jangkitan dan penularan virus terhad dalam kalangan pelajar yang tinggal di asrama sama,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

    Tambunan merupakan sebuah daerah di kawasan pedalaman tanah tinggi Sabah yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Kota Kinabalu.

    Masidi juga berkata 213 kes direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 244,217 dan pesakit COVID-19 yang sembuh ialah 108 kes menjadikan jumlah kumulatif pesakit pulih 236,443 orang manakala 761 pesakit sedang menerima rawatan.

    “Bilangan pesakit tahap empat dan lima menerima rawatan yang masih belum lengkap vaksin ialah seramai 22 orang,” katanya.- BERNAMA

  • COVID-19: Kes baharu catat bawah 3,000 hari ini - KP kesihatan

    PUTRAJAYA, 2 Januari - Jangkitan harian COVID-19 dalam negara kembali menurun ke paras bawah 3,000 apabila 2,882 kes baharu dicatatkan hari ini berbanding 3,386 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 2,764,354.

    Kali terakhir negara merekodkan jumlah kes COVID-19 bawah 3,000 adalah pada 28 Dis tahun lepas dengan 2,897 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 49 kes adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala bakinya adalah kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

    “Sebanyak 284 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 156 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Beliau berkata bagi kes sembuh pula, sebanyak 3,291 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif pulih ialah 2,692,216. - BERNAMA

     

  • COVID-19: Kes kematian di India melepasi 500,000

    FOTO AFP

    (Petugas kesihatan sedang menyuntik vaksin kepada remaja berumur 18 tahun ke atas)  

    NEW DELHI, 4 Februari- Jumlah kematian rasmi akibat COVID-19 di India melepasi 500,000 kes hari ini, walaupun banyak pakar percaya jumlah sebenar jauh lebih tinggi.

    Kemas kini Kementerian Kesihatan India menunjukkan jumlah kematian mencecah 500,055, tambahan lebih 1,072 dalam tempoh 24 jam terbaru.

    Manakala jumlah kes positif sudah mencecah 41.9 juta kes, kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat.  

    Jumlah kes telah meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan varian Omicron yang mudah merebak, namun kadar jangkitan sedikit berkurangan dalam tempoh beberapa hari lalu.

    Minggu lalu, Kementerian Kesihatan berkata terdapat petunjuk peningkatan kes di beberapa bahagian negara itu. 

    Pakar berkata gelombang Omicron tidak menyebabkan kes kematian atau kemasukan hospital yang tinggi. Beberapa negeri yang telah mengenakan sekatan pergerakan telah mula melonggarkan arahan itu.

    Hari ini, pihak berkuasa Delhi termasuk di kawasan ibu negara mengumumkan pembukaan semula sekolah tinggi, kolej, restoran dan gim seawal minggu depan.

    Selepas diarahkan tutup selama hampir dua tahun, pertama disebabkan COVID-19 dan berikutnya akibat pencemaran, kelas peribadi untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 14 tahun akan dibenarkan beroperasi semula pada 14 Februari ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Manish Sisodia menerusi Twitter.

    Tahun lalu, India antara negara paling teruk terjejas akibat penularan varian Delta, menyebabkan sistem kesihatan India hampir lumpuh.

    Banyak pakar meramalkan, jumlah kematian di negara itu boleh mencecah 500,000 kes pada tahun lepas. Hakikatnya gelombang Delta dan beberapa varian lain menyebabkan sekurang-kurangnya 200,000 kes kematian meskipun banyak hospital kehabisan bekalan oksigen manakala pesakit bertungkus lumus mendapatkan bekalan ubat. -AFP

  • COVID-19: MRSM Muar ditutup seminggu

    JOHOR BAHRU, 10 April- Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar diarahkan tutup selama tujuh hari bermula semalam (Sabtu) selepas 30 pelajar didapati positif COVID-19.

    Notis perintah penutupan itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon yang mengesahkan perkara itu berkata daripada jumlah itu, 11 pelajar disahkan positif COVID-19 menerusi ujian saringan yang dilakukan pada hari ketiga mendaftar masuk ke asrama sejak Isnin lepas.

    "Kemudian pada hari kelima, ujian saliva telah dilakukan ke atas semua pelajar dan hasil ujian mendapati 19 lagi pelajar positif COVID-19.

    “Kuarantin ke atas semua pelajar yang positif telah dibuat di tempat yang ditetapkan malah pengasingan serta-merta juga telah dilakukan atas nasihat PKD Muar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    (Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar/FOTO Facebook MRSM Muar)

    Penutupan MRSM berkenaan juga disahkan Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu. - BERNAMA

  • COVID-19: Pemain badminton kebangsaan, M Thinaah disahkan positif

    SHAH ALAM, 15 Februari -Pasukan Badminton negara berdepan tugas sukar di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 apabila pemain beregu utama, M Thinaah didapati positif COVID-19.

    Keputusan ujian saringan itu diperoleh dua jam sebelum aksi pertama bermula.

    Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi kenyataannya berkata, pemain berusia 24 tahun itu tidak bergejala perlu menjalani kuarantin mengikut protokol yang telah ditetapkan oleh ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    FOTO FACEBOOK BAM 

    "Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan penganjur BATC, kontak rapat kepada Thinaah iaitu Pearly Tan (gandingannya) wajib menjalani ujian RT-PCR (Polimerase-Transkripsi Terbalik). Namun, keputusan ujian adalah negatif.

    "Persatuan mendoakan agar Thinaah segera pulih," kata kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi BAM itu.

    Rakannya, Pearly Tan yang juga kontak rapat disahkan negatif jangkitan berdasarkan ujian RT-PCR.

  • COVID-19: Situasi semasa lebih baik banding tahun lalu

    PUTRAJAYA, 11 Februari - Vaksinasi yang tinggi dan kadar pemberian dos penggalak yang meningkat antara faktor penting yang menyumbang kepada situasi semasa lebih baik, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Keong.

    Dr Chong turut mengakui bilangan kes COVID-19 kebelakangan ini meningkat kepada angka yang hampir sama pada bulan Ogos dan September tahun lepas, namun situasinya jauh berbeza.

    Beliau berkata pada 11 Februari 2022, bilangan kes yang dilaporkan ialah 20,939 dan pada masa sama, data terkini menunjukkan hanya 1,637 kes dimasukkan ke wad manakala 158 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kurang daripada 10 kematian dilaporkan.

    "Sebagai perbandingan, bilangan kes COVID-19 yang dilapor menunjukkan peningkatan pada 11 Ogos 2021 ialah 20,780 dengan 2,928 kes dimasukkan ke wad manakala 1,547 dirawat di ICU dan 332 kematian dilaporkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

    "Tambahan pula, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun sejak 3 Februari lalu.


    Beliau yang juga merupakan Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Pantas COVID-19 Kebangsaan berkata situasi semasa kapasiti katil COVID-19 adalah mencukupi dan mampu menampung jumlah pesakit kerana bilangan kes dalam kategori tiga, empat dan lima adalah kurang daripada satu peratus.

    "Bagi individu yang dipantau di rumah melalui Pusat Penilaian COVID-19 maya (VCAC) semakin meningkat dengan mendadak.

    "Bilangan individu yang dipantau melalui VCAC pada masa ini ialah sebanyak 100,000 orang berbanding 30,000 orang pada tiga minggu lepas," katanya.

    "Mengambil kira langkah-langkah yang telah diambil sepanjang enam bulan lepas dalam memperkukuh VCAC, KKM kini mempunyai keupayaan meningkatkan kapasiti untuk memantau individu yang menjalani isolasi atau perintah pengawasan dan pemantauan di rumah."

    Menurutnya, KKM akan meningkatkan kapasiti pemantauan kepada 200,000 individu menjelang minggu depan.

    "Walaupun vaksinasi bukan merupakan jalan keluar utama daripada krisis ini, ia bagaimanapun dapat membantu mengelakkan jangkitan yang lebih teruk dan mengurangkan impak krisis," ujarnya lagi.

  • India catat lebih 159, 000 kes COVID-19 baharu

    NEW DELHI, 9 Januari - India mencatatkan lebih 159,000 jangkitan COVID-19 baharu dalam tempoh 24 jam terakhir, lapor Agensi Anadolu menurut data Kementerian Kesihatan pada Ahad.

    Kementerian itu melaporkan 159,632 jangkitan baharu, menjadikan jumlah kes keseluruhan kepada 35.5 juta. Kes kematian baharu adalah 327 menjadikan angka keseluruhan kematian berjumlah 483,790.

    Ia juga menyebut kes varian Omicron mencecah 3,623.

    Walaupun pegawai kesihatan berkata varian Omicron kini menjadi strain utama yang tersebar di bandar-bandar India, pakar berkata peningkatan itu menunjukkan gelombang ketiga pandemik itu.

    Negeri Maharashtra Barat dan ibu negara New Delhi mendahului senarai peningkatan jangkitan baharu.

    Bandar-bandar kini mengenakan sekatan tambahan untuk membendung jangkitan, termasuk perintah berkurung waktu malam.

    Kementerian mengeluarkan garis panduan perjalanan baharu pada Jumaat buat pelancong yang tiba di India dan perlu menjalani kuarantin rumah selama seminggu serta melakukan ujian pada hari kelapan.

    Setakat Ahad pagi, 1.51 bilion dos vaksin COVID-19 telah diberikan di negara itu. -- BERNAMA

  • JAKIM sediakan 'tausiyyah' kepada jemaah umrah sepanjang tempoh kuarantin


    KUALA LUMPUR, 6 Januari- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil inisiatif menyediakan 'tausiyyah' bimbingan rohani kepada jemaah umrah yang sedang menjalani tempoh kuarantin setelah pulang dari tanah suci.

    Ini sebagai langkah memotivasikan jemaah untuk mengisi masa sepanjang kuarintin yang akan dijalankan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di bawah JAKIM.

    "Saya harap para jemaah yang ditempatkan di situ selesa dan boleh melakukan ibadah dengan baik sekaligus meneruskan ibadah hasil semangat setelah pulang dari Tanah Suci," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad menerusi perkongsian di laman sosialnya, hari ini.

    Katanya lagi , sesi tausiyyah itu akan disampaikan oleh pegawai-pegawai JAKIM menerusi pembesar suara yang ada pada setiap bilik pada waktu pagi
    dan malam selama setengah jam setiap sesi.

    Inisiatif ini diharap dapat memberi manfaat dan suntikan semangat untuk 141 orang Jemaah umrah yang sedang menjalani kuarantin di pusat kelolaan itu.

  • Kanak-kanak di Perancis wajib pakai 'face mask'

    PERANCIS, 2 Januari- Kanak-kanak yang menaiki pengangkutan awam di Perancis diwajibkan memakai pelitup separuh muka bermula Isnin ini.

    Arahan itu melibatkan mereka yang berusia enam tahun ke atas.

    Keputusan itu diumumkan kerajaan Perancis semalam (Sabtu) sebagai usaha menangani penularan coronavirus terutama varian Omicron.

    Pelitup separuh muka sebelum ini hanya diwajibkan untuk mereka yang berusia 11 tahun ke atas sahaja. 

    Perdana Menteri, Jean Castex turut mengumumkan larangan minuman dan makanan ke atas pengangkutan awam selama 3 minggu.

    Menurut Jurucakap pengendali tren nasional SNCF, penumpang tidak akan dibenarkan menanggalkan pelitup separuh muka termasuk perkhidmatan rentas sempadan iaitu Thalys dan Eurostar.

    Dalam perkembangan sama, perkhidmatan kafe juga akan digantung sehingga 23 januari.

    Kes harian Covid-19 di Perancis terus mencatatkan rekod dari hari ke hari malah pada Jumaat pihak berkuasa mengumumkan 232 ribu 200 kes baharu sekaligus tertinggi sejak pandemik melanda.

  • Kes COVID-19 turun bawah angka tiga ribu

    PUTRAJAYA, 27 Disember-Jumlah kes harian wabak itu dilaporkan terus menurun bawah angka 3,000 apabila sebanyak 2,757 direkodkan sehingga 12 tengah hari tadi.

    Manakala kes sembuh Covid-19 mencatat 4,620 kes menjadikan kumulatif kes sembuh ialah 2,669,654 kes.

    Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, 297 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 169 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

    Beliau memaklumkan tujuh lagi kluster baharu dikesan menjadikan 223 kluster masih aktif setakat ini.

    Sementara itu, bagi perkembangan banjir, Dr Noor Hisham berkata sehingga 3 petang tadi terdapat 429 kes Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir.

    Dan, 11 kes Covid-19 dikesan di pusat pemindahan sementara (PPS).

    Manakala 185 kes penyakit berjangkit turut dikesan dalam kalangan mangsa banjir.

  • Kit ujian pantas COVID-19 beri keputsan negatif palsu terhadap Omicron

     



    WASHINGTON, 30 Disember - Kit ujian pantas COVID-19 mungkin memberikan keputusan negatif palsu terhadap varian Omicron.

    Demikian pendedahan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat, AS ketika negara berkenaan berdepan lonjakan kes varian berkenaan.

    Malah pakar mendakwa, kebanyakan jangkitan varian itu gagal dikesan melalui ujian saringan kendiri.

    Memburukkan keadaan, masa menunggu bagi ujian PCR yang lebih tepat agak lama manakala bekalan kit ujian saringan di rumah pula terhad.

    Menurut FDA, mereka turut bekerjasama dengan Institut Kesihatan Nasional (NIH) untuk mengkaji prestasi ujian saringan di rumah, yang juga dikenali sebagai ujian antigen, terhadap sampel pesakit dijangkiti varian Omicron.

    Data awal menunjukkan ujian antigen memang mengesan varian Omicron, namun mungkin sensitivitinya sudah berkurangan.

    Sensitiviti ialah ukuran sejauh mana kemungkinan ujian dapat mengesan jangkitan varian yang positif.

    Ujian sebelumnya menumpukan pada sampel virus yang dinyah aktif menggunakan haba berbanding virus hidup yang memberikan keputusan lebih baik dan tiada penurunan prestasi dikesan sehingga kini.

    Namun FDA berkata, ia akan terus membenarkan penggunaan ujian antigen, yang berfungsi mengesan protein permukaan COVID-19 dan individu harus menggunakannya mengikut arahan. - AFP

  • Laos mula beri vaksin COVID-19 terhadap kanak-kanak berusia 6 hingga 11 tahun

    VIENTIANE, 16 Februari -Kerajaan Laos pada Mac mula melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 11 tahun dalam usaha menjamin keselamatan pelajar selaras dengan pembukaan semula sesi persekolahan, lapor Xinhua, memetik media tempatan.

    Akhbar tempatan Vientiane Times pada Rabu memetik kenyataan Timbalan Pengurus Program Imunisasi Kebangsaan, Chansai Pathammavong bahawa sejumlah 957,000 kanak-kanak akan menerima vaksin, dengan harapan menggalakkan ahli keluarga lain turut berbuat demikian.

    Pemberian vaksin berkenaan akan bermula di Vientiane, tetapi wilayah lain yang sudah bersedia melancarkan program itu boleh meneruskan imunisasi, kata Chansai.

    Vaksinasi terhadap kanak-kanak hanya diberikan sekiranya mendapat kebenaran ibu bapa dan penjaga.

    FOTO FACEBOOK UNICEF LAOS

    Kementerian akan merangka pelan vaksinasi manakala Kementerian Pendidikan dan Sukan pula mempromosikan mengenai kepentingan vaksinasi kanak-kanak.

    Kementerian Kesihatan turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan dan pegawai kesihatan mengkaji kemajuan dalam pemberian vaksin dalam kalangan remaja berumur 12 hingga 17 tahun dan memastikan suntikan diberikan kepada mereka yang masih belum menerimanya.

    Setakat ini, 65.74 peratus daripada rakyatnya telah menerima suntikan pertama, manakala 57.86 peratus telah lengkap dua dos suntikan vaksin, menurut Jawatankuasa Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Pencegahan dan Kawalan COVID-19. - BERNAMA

  • Masyarakat disaran guna ciri bluetooth MySJ Trace di tempat awam

     

    PUTRAJAYA, 28 DISEMBER - Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan agar ciri Bluetooth Tenaga Rendah (BLE) MySJ Trace di aplikasi MySejahtera digunakan oleh masyarakat ketika berada di tempat awam, dalam pengangkutan awam, di kedai makan dan pusat membeli-belah.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata MySJ Trace menggunakan teknologi BLE bagi mengesan kontak rapat iaitu individu yang berada dalam jarak dan waktu tertentu dengan kes positif COVID-19.

    Beliau berkata sekiranya individu yang dikesan positif bersetuju berkongsi maklumat dengan KKM barulah notifikasi akan dihantar kepada individu sebagai kontak kasual.

    "Maklumat itu hanya terkandung dalam telefon anda. Hanya jika anda mahu berkongsi bagi kebenaran itu sahaja. Kami tidak menyimpan maklumat itu. Kalau tidak, Apple and Google tidak akan lulus penambahbaikan ini sebab mereka sangat prihatin dengan data peribadi," katanya pada sidang media hari ini.

    Beliau berkata ketika ini, KKM hanya menggalakkan dan menasihati masyarakat untuk menggunakan ciri itu namun tidak menolak kemungkinan mewajibkannya untuk kemasukan ke premis jika penggunaan MySJ Trace tidak menggalakkan.

    Khairy berkata ciri MySJ Trace akan membantu KKM dari segi pengesanan kontak dan memastikan masyarakat hidup bersama COVID-19 dalam suasana selamat serta bertanggungjawab dengan data, teknologi dan peranti memastikan tiada tindakan drastik seperti sekatan.

    MySJ Trace merupakan antara fungsi mudah alih pengesanan kontak menggunakan pendekatan dorongan masyarakat dengan telefon bimbit pengguna akan saling bertukar maklumat apabila berada dalam jarak tertentu.

    Pertukaran maklumat itu adalah satu interaksi antara pengguna MySJ Trace yang membolehkan identifikasi individu yang pernah berada berdekatan dengan seorang lagi individu yang positif COVID-19.

    Selain itu, Khairy berkata pertemuan dengan beberapa persatuan secara maya telah sepakat menyuarakan usaha memperketat saringan di pintu masuk premis dan menggalakkan penggunaan MySJ Trace.

    Antaranya Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM), Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS), Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) Malaysia, Prasarana Bhd dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

    Beliau juga berkata aspek pengudaraan akan dipertingkat bagi memastikan usaha memutuskan rantaian penularan yang berkesan.

    Khairy turut menyeru masyarakat agar memberi kerjasama kepada pengurus premis dan pegawai keselamatan yang meminta untuk menyemak status mereka di aplikasi MySejahtera.-BERNAMA

  • OMICRON: Masih terlalu awal sekat umat Islam mengerjakan umrah - KJ

    PUTRAJAYA, 28 Disember- Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan masih terlalu awal untuk melaksanakan sekatan ke atas umat Islam di negara ini untuk mengerjakan umrah di Makkah berikutan peningkatan kes varian Omicron, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

    Bercakap pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini, beliau berkata ketika ini KKM masih memantau trend kes berkaitan varian itu selain mewajibkan mereka yang baharu pulang mengerjakan umrah untuk menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama tujuh hari dan memakai gelang peranti digital.

    “Kita tidak mahu buat keputusan terburu-buru untuk sekat orang ramai (umat Islam) untuk mengerjakan umrah.

    Buat masa ni walaupun ada peningkatan kes varian Omicron yang mendadak dari Arab Saudi tapi kita (KKM) minta patuh kepada HSO serta elak daripada bergaul dengan ahli keluarga dengan mengasingkan diri di dalam bilik dan menggunakan tandas berasingan,” katanya.

    Sehingga kini menurut  KKM terdapat 30 kes membabitkan varian Omicron yang dikesan sebagai kes import dari Arab Saudi daripada 62 kes yang dilaporkan sejak Sabtu lepas.

    Khairy berkata pihaknya juga menggalakkan individu yang baharu pulang daripada mengerjakan umrah untuk melakukan ujian kendiri COVID-19 sepanjang menjalani kuarantin.

    Langkah ini perlu diambil memandangkan terdapat individu yang didapati positif pada hari kelima kuarantin walaupun ujian calitan mereka semasa ketibaan adalah negatif.  

    KKM juga telah mengarahkan syarikat pelancongan yang menguruskan umrah untuk mewajibkan setiap individu yang ingin menunaikan ibadah tersebut untuk mendapatkan suntikan dos penggalak. 

    “Suntikan dos penggalak amat penting khususnya kepada kumpulan berisiko tinggi seperti mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas serta mempunyai sejarah komorbid. 

    Langkah berhati-hati ini perlu dengan mengambil kira tahap kebolehjangkitan varian Omicron adalah tinggi,” katanya menambah langkah itu juga terpakai bagi individu yang merancang melakukan perjalanan ke negara-negara lain.

    Ditanya sekiranya penularan varian Omicron pada tahap membimbangkan kerana varian itu lebih mudah berjangkit berbanding Delta, Khairy tidak menolak kemungkinan kerajaan akan mengarahkan individu yang baharu pulang dari mengerjakan umrah untuk menjalani menjalani kuarantin di pusat kuarantin.

    “Sekiranya penularan varian Omicron dari Arab Saudi ini pada tahap membimbangkan, maka kita akan pertingkatkan usaha dengan mengarahkan mereka kuarantin di pusat kuarantin atau sekat perjalanan ke Arab Saudi tetapi perlu pantau dahulu dan buat secara berperingkat,” katanya.

    Mengenai kekecohan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, beliau berkata ianya disebabkan kekurangan kaunter pemakaian peranti digital sehingga menyebabkan kesesakan dalam kalangan individu yang baharu pulang daripada mengerjakan umrah.

    Katanya, pihaknya juga telah mengarahkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menambah kaunter terbabit selain penambahan jumlah petugas bagi memastikan proses pemakaian peranti digital berjalan lancar.

    “Tadi saya telah meninjau kaunter tersebut dan saya difahamkan bahawa MAHB akan tambah kaunter pada Khamis ini,” katanya. -- BERNAMA

  • Omicron: Seoul henti strategi uji dan rawat tumpu kepada kumpulan berisiko

    FOTO AFP

    SEOUL, 9 Februari- Korea Selatan umum menggugurkan program COVID-19 “jejak, uji dan rawat” yang dibanggakan berikutan peningkatan kes positif kesan varian Omicron yang berupaya mengancam sistem kesihatan negara itu.

    Ketika awal wabak menular pada 2020, Korea Selatan antara negara paling terjejas di luar China, namun pihak berkuasa berjaya mengawal penularan hasil saringan besar-besaran dan pengesanan kontak secara agresif.

    Keputusan mengugurkan program yang mendapat pujian rakyat itu terpaksa dilakukan selepas kes positif melepasi paras sejuta pada hujung minggu lalu.

    “Pendekatan, ‘jejak, uji dan rawat’ sukar untuk dilaksanakan disebabkan sumber yang terhad dan memerlukan kos sosial serta ekonomi terlalu tinggi, kata Sohn Young-rae, pegawai kanan kesihatan.

    Kes jangkitan harian di Korea Selatan mencatat paras tertinggi 49,567 pada Selasa dan pihak berkuasa kesihatan menjangka angka itu akan mencecah 170,000 kes pada akhir bulan ini.

    Jumlah kes itu meningkat dua kali ganda dalam tempoh kurang seminggu.

    Jelas Sohn, langkah pencegahan terbaru pengurusan virus akan berkuat kuasa secara berperingkat bermula bulan ini; memfokus semula penggunaan sumber kepada kumpulan paling berisiko.

    “Matlamat adalah untuk mendiagnosis dan merawat kumpulan berisiko tinggi bagi mengelak sistem kesihatan lumpuh serta kemerosotan fungsi sosial dan ekonomi", tambah Sohn.

    Pihak berkuasa akan lebih mengutamakan saringan kepada penduduk berumur 60 tahun dan ke atas.

    Sebelum ini, individu yang diuji positif dihantar ke pusat perubatan kerajaan untuk rawatan dan menjalani kuarantin, tetapi kini pesakit tanpa gejala hanya diminta tinggal di rumah.

    Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, kira-kira 85 peratus penduduk daripada keseluruhan 52 juta populasi sudah menerima dua dos vaksin. -AFP

  • Peningkatan kluster pendidikan: Kerajaan tunggu laporan jawatankuasa protem - PM



    KOTA BHARU, 22 Januari
    - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebarang keputusan mengenai sesi persekolahan akan dibuat selepas laporan diperoleh daripada jawatankuasa protem mengenai peningkatan kluster COVID-19 di sekolah.

    Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah diminta untuk membentangkan laporan mengenai peningkatan kluster COVID-19 kepada jawatankuasa protem yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    “Kalau kita terus tutup sekolah ibu bapa juga bimbang dari segi masa depan anak-anak mereka kerana pembelajaran melalui dalam talian (PdPR) juga tidak diterima (diakses) sepenuhnya oleh rakyat.

    “Beberapa perubahan telah dilakukan oleh KPM, isunya kes meningkat begitu tinggi dan mendadak. Saya telah minta supaya KPM membentangkan kepada jawatankuasa protem, dari segi membuat keputusan kita tunggu jawatankuasa protem berbincang dan mendengar laporan KPM itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Ahli Biro Politik UMNO Negeri di Bangunan UMNO Kelantan, di sini hari ini.

    Untuk rekod, sekitar 70 peratus atau 62 kluster daripada 89 kluster baharu yang dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tempoh 15 Jan hingga semalam, melibatkan institusi pendidikan.

    Rekod kluster pendidikan tertinggi dilaporkan pada 19 Jan iaitu 16 kluster daripada 20 kluster baharu yang dikesan. Semalam (21 Jan), 11 daripada 12 kluster yang dilaporkan oleh KKM adalah kluster pendidikan, iaitu masing-masing dua di Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pahang, sementara satu di Johor.

    Sebelas kluster pendidikan turut dilaporkan pada 18 Jan dan 11 kluster pada 20 Jan. - BERNAMA

  • PICKids: Lebih 1,000 buah sekolah dijadikan PPV

     

    PUTRAJAYA, 11 Februari- Bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada murid sekolah rendah, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi  Jabatan Kesihatan Negeri telah mengenal pasti 1,055 buah sekolah yang akan menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

    Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata ke semua sekolah itu  akan menjadi PPV kepada murid di sekolah tersebut dan murid daripada sekolah-sekolah berdekatan.

    “Adalah dijangka jumlah PPV sekolah akan bertambah dari masa ke semasa. Ke semua PPV sekolah akan mula beroperasi selewat-lewatnya 14 Februari 2022 di seluruh negara.

    “Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai aplikasi MySejahtera perlu mendaftar kanak-kanak sebagai tanggungan dalam MySejahtera bagi mendapatkan janji temu vaksin dan sijil digital vaksinasi manakala ibu bapa atau penjaga yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera tidak perlu bimbang kerana tarikh dan lokasi janji temu akan dimaklumkan melalui pihak pengurusan sekolah,” kata Dr. Noor Azmi menerusi kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

    Beliau yang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C), turut memaklumkan bahawa KPM telah bersetuju untuk membantu mengatur janji temu secara berkelompok untuk vaksinasi di sekolah atau di pusat vaksinasi yang telah dikenal pasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah. Ia bagi melancarkan pelaksanaan vaksinasi COVID-19.

    Bagi mengelakkan kesesakan di PPV, hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani kanak-kanak untuk tujuan vaksinasi. KKM turut menasihatkan ibu bapa memastikan kanak-kanak yang akan divaksinkan mendapat rehat pada malam sebelumnya, bersarapan pagi dan meminum air secukupnya sebelum ke PPV.

    Mengenai perkembangan PICKids yang telah dimulakan secara rasmi di peringkat Kebangsaan pada 3 Februari lalu, setakat semalam seramai 79,393 kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun telah menerima dos 1 vaksin COVID-19 jenis Comirnaty (Pfizer BioNTech).

    PICKids menyasarkan 3.6 juta golongan kanak-kanak kumpulan usia itu bagi melindungi mereka daripada jangkitan teruk COVID-19 dan memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekali gus mencegah kejadian kluster dalam kalangan warga sekolah.

    “Pencapaian tertinggi adalah di Selangor 28,661 kanak-kanak, diikuti WP Kuala Lumpur & Putrajaya 17,887 kanak-kanak, Sarawak 17,877 kanak-kanak, Sabah 4,962 kanak-kanak, Melaka 3,425 kanak-kanak dan Negeri Sembilan 2,728 kanak-kanak,” katanya.

    Ketika ini, pemberian vaksin kanak-kanak dilaksanakan di pelbagai PPV iaitu di hospital, klinik kesihatan, PPV Integrasi dan PPV off-site.