fb fb fb fb fb

Perbicaraan kes 1MDB disingkatkan, saksi utama dijangkiti COVID-19

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB pada November lalu/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Disember- Perbicaraan kes rasuah membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disingkatkan hari ini selepas Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa seorang saksi utama positif COVID-19 ,manakala seorang lagi merupakan kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Saksi berkenaan adalah Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin dan penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Kamal Baharin Omar memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa Nur Aida yang kini sedang dikuarantin tidak dapat hadir bagi perbicaraan yang dijadualkan pada Isnin depan.

Hakim kemudian menangguhkan prosiding sehingga Isnin.

Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-48, Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Pengubahan Wang, ACP Foo Wei Min mengenai siasatan yang telah dilakukan terhadap akaun Datuk Seri Najib Razak berkaitan pengubahan wang haram.

Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang melibatkan jumlah yang sama.

ZEHRA BINTI ZAMBRI