DUNGUN, 2 Januari - Dua individu masing-masing seorang lelaki 33 tahun dan seorang wanita 39 tahun ditahan kerana memiliki dadah, di Jalan Felda Kerteh Ketengah Jaya, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir dalam satu keyataan memaklumkan kedua-dua suspek dipercayai pengedar dadah itu ditahan kira-kira pukul 1.00 pagi tadi.
"Hasil pemeriksaan, polis menemukan sejumlah pil disyaki dadah jenis Yaba dengan anggaran berat keseluruhan 178.68 gram bernilai kira-kira RM13,401.00.
"Suspek lelaki berusia 33 tahun didapati positif methamphetamine manakala suspek wanita berusia 39 tahun pula negatif," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua barang rampasan dan suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan dan rangkaian pengedaran yang terlibat.
