fb fb fb fb fb

13.9 juta orang masih aktif guna MySejahtera

Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 28 Februari- Kementerian Kesihatan (KKM) kekal memanfaatkan aplikasi MySejahtera sebagai alat pendigitalan sistem kesihatan dalam usaha mengekang penyakit berjangkit dalam negara. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sekitar 13.9 juta pengguna masih aktif menggunakan MySejahtera seluruh negara. 

"Kita kekal menggunakan pengurusan individu positif COVID-19 dengan menggunakan pelaporan keputusan ujian kendiri oleh pengguna, contohnya memberikan kad HSO atau Home Surveillance Order (Sijil Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah) untuk lima hari dan juga notifikasi untuk mereka naikkan sebagai home assistant tool selama lima hari juga.

"(Selain itu) kita juga menggunakan MySejahtera sebagai satu amaran sebagai pengesanan penyakit berjangkit dalam kurang lebih lingkungan 1,000 meter di mana mereka berada," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya lagi, KKM akan terus memantau dan bersiap siaga dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam menjalani kehidupan "hidup bersama virus".

SITI AISHAH MD ISA