
KUALA LUMPUR, 20 Mac – Jemaah Menteri hari ini menyeru rakyat Malaysia agar menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai wadah memperkukuh perpaduan, memupuk kasih sayang serta memperkasakan nilai kemanusiaan dalam masyarakat majmuk di negara ini.
- Jadikan Aidilfitri peluang memperkukuh ukhuwah, memupuk kasih sayang dan menguatkan nilai kemanusiaan dalam masyarakat majmuk.
- Manfaatkan teknologi dan AI untuk mengukuhkan hubungan sosial serta menyebar kasih sayang, bukan memisahkan masyarakat.
- Buka ruang bermaafan tanpa mengira bangsa, agama atau budaya; amalkan hormat, tolak ansur dan solidariti.
- Perkasakan semangat Malaysia MADANI dengan memperkukuh perpaduan demi keamanan, keberkatan dan kesejahteraan semua.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga simbol kemenangan rohani, keinsafan dan keutuhan ukhuwah yang menjadi asas kepada kekuatan masyarakat.
Beliau berkata dalam era yang dipacu kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), nilai kemanusiaan harus tetap menjadi keutamaan bagi memastikan keharmonian terus terpelihara.
“Teknologi harus dimanfaatkan untuk memperkukuh ukhuwah dan menyebar nilai kasih sayang, bukan sebagai pemisah yang menjauhkan kita.
“Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam sebuah negara majmuk, marilah kita terus menyemai sikap hormat-menghormati, bertolak ansur, dan bersolidariti. Inilah teras kekuatan negara kita, perpaduan yang utuh di tengah-tengah kepelbagaian,” katanya menerusi hantaran berserta video ucapan di Facebook hari ini.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyeru rakyat agar membuka ruang untuk bermaaf-bermaafan serta memperkukuh hubungan sesama mereka tanpa mengira bangsa, agama, dan budaya.
Beliau berkata hanya dengan sikap saling memahami dan menghormati, negara mampu memelihara keharmonian serta memastikan Malaysia terus aman dan sejahtera.
“Semoga kedatangan Syawal ini membawa sinar kegembiraan, keberkatan, dan kesejahteraan kepada semua. Dalam semangat perpaduan, marilah kita terus memupuk rasa hormat, kasih sayang, dan keprihatinan antara satu sama lain,” katanya.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan turut mengajak rakyat agar terus memperkukuh perpaduan, menyemai kasih sayang dan melangkah ke hadapan dengan semangat kebersamaan demi masa depan yang lebih gemilang.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Semoga Syawal yang mulia ini membawa keberkatan, kedamaian dan kebahagiaan buat kita semua,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang turut menyampaikan ucapan selamat hari raya kepada seluruh umat Islam, di samping menyeru agar semangat Malaysia MADANI terus diperkasakan. – BERNAMA