GENEVA, 20 Disember- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan strain varian JN.1 sebagai "varian minat" dan ia menunjukkan risiko rendah terhadap kesihatan awam.
Pakar virologi di Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins Bloomberg, Andrew Pekosz berkata walaupun mungkin terdapat lebih banyak kes dengan varian itu, namun JN.1 tidak menimbulkan risiko yang lebih besar.
JN.1 berkait rapat dengan varian BA.2.86 dan dijangka memberi kesan terhadap corak penularan COVID-19.
WHO berkata vaksin semasa akan terus melindungi daripada risiko JN.1 dan varian lain yang beredar bagi virus COVID-19.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS berkata awal bulan ini subvarian JN.1 membentuk kira-kira 15 peratus hingga 29 peratus kes di Amerika Syarikat setakat 8 Disember, menurut unjuran terbaru agensi itu.
CDC telah berkata pada masa ini tiada bukti bahawa JN.1 memberikan peningkatan risiko kepada kesihatan awam berbanding varian lain yang sedang beredar.
JN.1 pertama kali dikesan di Amerika Syarikat pada bulan September, menurut CDC.
Minggu lalu, China mengesan tujuh jangkitan subvarian COVID-19.
Sementara semalam, Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan penemuan kes jangkitan COVID-19 varian JN.1 di Jakarta dan Batam, di wilayah Kepulauan Riau.
Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit Kementerian itu Maxi Rein Rondonuwu berkata masing-masing satu kes jangkitan di Jakarta Selatan pada 11 November di Jakarta Timur pada 23 November dan di Batam pada 13 Disember.