fb fb fb fb fb

ASEAN perlu kolaborasi lebih erat dengan Jepun - Anwar

Foto BERNAMA

TOKYO, 17 Disember- ASEAN perlu berkolaborasi secara lebih erat dengan Jepun khususnya dalam usaha memperkukuh daya tahan rakyat berdepan cabaran luar jangka masa depan.

Mengambil contoh pandemik COVID-19, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi fokus kepada kerjasama bidang kesihatan awam, tindak balas perubahan iklim, pengurusan bencana dan pertukaran sesama rakyat.

Usaha itu akan menyaksikan penyatuan bakat, pengalaman dan kepakaran untuk sama terlibat dalam solusi berkaitan isu yang memberi impak sejagat.

"Kita perlu bekerjasama di luar kerangka persidangan dan diplomatik. Selari penubuhan Pusat ASEAN untuk Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Memuncul nanti, kami mencadangkan Jepun perlu menjemput negara anggota ASEAN untuk menghantar pakar mereka ke situ," kata Anwar pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun di Tokyo.

Tambahnya, Malaysia mahu memanfaatkan pengalaman dan kepakaran Jepun dalam pengurusan bencana dengan mewujudkan pusat bantuan bencana secara kekal di Malaysia.

Program pertukaran pelajar juga akan diteruskan menyokong usaha pertukaran sesama rakyat, dengan fokus kepada inisiatif Rangkaian Pertukaran Pelajar dan Belia Jepun-Asia Timur (JENESYS). 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM