PUTRAJAYA, 18 Disember- Bekalan vaksin COVID-19 masih mencukupi bagi mereka yang ingin mengambil dos penggalak terutamanya golongan berisiko tinggi dan komorbid.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, pengambilan dos penggalak adalah mudah dengan hanya 'walk-in' atau melakukan janji temu di klinik kesihatan dan hospital.
"Stok vaksin kita mencukupi, kalau katakanlah penggalak dan untuk sesiapa lagi yang hendak mengambil vaksin. Kita ada stok vaksin. Buat masa sekarang ini cukup terutama sekali bagi mereka yang mempunyai risiko ataupun yang komorbiditi, kita ada cukup, insya-Allah," kata Muhammad Radzi pada sidang media khas KKM di sini.
Ditanya berhubung bekalan Pfizer generasi baharu, Muhammad Radzi berkata KKM masih dalam proses perolehan dengan pengeluar.