fb fb fb fb fb

PWS lancar stesen minyak pertama atas tanah wakaf di Sungai Merab

Ketua Pegawai Ekskutif PWS, Anuar Hamzah Tohar

SEPANG, 30 Disember- Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) melancarkan stesen minyak pertama di Malaysia yang dibangunkan di atas tanah wakaf di Sungai Merab, Sepang.

Projek berimpak tinggi itu dijangka memberi manfaat ekonomi berterusan kepada umat Islam dan penduduk setempat.

Ketua Pegawai Ekskutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata stesen minyak yang dibangunkan di atas tanah wakaf seluas 1.25 ekar itu merupakan sebahagian daripada tanah wakaf berkeluasan empat ekar.

Pembinaannya mula digerakkan tahun lalu dengan kos pembangunan keseluruhan sekitar RM9 juta, sepenuhnya menggunakan dana wakaf.

“Petrol stesen ini merupakan stesen pertama yang kita dirikan di atas tanah wakaf yang diwakafkan sejak tahun 1972. Hari ini, kita dapat melaksanakan jariah pewakaf. Sebelum ini, kita telah merancang untuk membina stesen petrol ini yang akan memberikan manfaat kepada penduduk setempat."

"Pada masa yang sama, ia juga memberi manfaat kepada umat Islam di Selangor dan kepada orang bukan Islam juga untuk mengisi minyak," kata Anuar kepada pemberita, hari ini.

Selain kemudahan mengisi minyak, kawasan tersebut turut dirancang untuk pembangunan kedai serbaneka, restoran makanan segera dan lot komersial, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar Sungai Merab, Kajang dan Bangi.

Sebanyak 50 peratus hasil keuntungan akan disalurkan kepada Masjid Sungai Ramal Luar, bergantung kepada jumlah jualan dan prestasi operasi stesen minyak berkenaan.

Pihaknya turut mengenal pasti tiga lagi lokasi berpotensi untuk pembangunan stesen minyak wakaf pada masa akan datang, antaranya di Johan Setia di Klang dan Jalan Reko, Kajang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM