fb fb fb fb fb

RM9.6 juta peruntukan basmi miskin tegar, miskin di Kelantan

Foto hiasan

KOTA BHARU, 18 Disember- Kerajaan Persekutuan memperuntukan sejumlah RM9.6 juta ringgit bawah peruntukan Pembasmian Kemiskinan bagi Bantuan Bina Baharu Rumah Kasih Ihsan ICU JPM kepada 120 golongan miskin tegar dan miskin di Kelantan.

Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di Kota Bharu menjadi lokasi pelaksanaan kerana DUN tersebut mencatatkan bilangan miskin tegar tertinggi di Kota Bharu.

Bantuan yang diberikan itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutan terhadap rakyat.

Ketua isi rumah (KIR) yang berdaftar dengan e-Kasih akan mula menerima bantuan tersebut pada Januari tahun depan.

"Untuk bina rumah baru di Kelantan bawah peruntukan pembasmian kemiskinan, kerajaan memperuntukan sebanyak RM9.6 juta.

"Sementara itu seramai 240 ketua isi rumah daripada golongan miskin tegar dan miskin juga akan diberi bantuan untuk baik pulih rumah sebagaimana dinyatakan. Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM5.8 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Bina Baharu Dan Baik Pulih Rumah di Kampung Badang di sini.

Hadir sama, Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM), Jasri Kasim.

Wan Ahmad Dahlan berkata, berdasarkan analisis data miskin tegar sehingga 3 Disember lalu terdapat pengurangan sebanyak 4,927 atau 40.1 peratus KIR miskin tegar berbanding data yang diperoleh pada Januari lalu iaitu seramai 12,280 KIR miskin tegar.

Antara faktor yang menyumbang kepada penurunan miskin tegar di Kelantan ialah menerusi semakan silang dengan beberapa agensi pemberi bantuan bagi pengemaskinian maklumat bantuan yang diterima oleh peserta e-Kasih.

Selain itu impak bantuan dan program pembasmian kemiskinan oleh kerajaan persekutuan dan negeri kepada golongan sasar turut memainkan peranan dalam pengurangan kadar tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI