fb fb fb fb fb

Johari Kassim sampaikan bantuan kepada Muhd Zamrie

Johari Kassim

IPOH, 18 Disember- Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Johari Kassim menziarahi keluarga kepada pelajar tingkatan lima Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang maut dalam kemalangan di Taman Jati, Meru, Ipoh pada Jumaat lalu.

Pada pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu, beliau yang mewakili Datuk Seri Saifuddin Nasution turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada bapa allahyarham, Muhd Zamrie Zainal Abidin.

"Saya yakin dan menteri bagi jaminan juga proses keadilan akan ditegakkan dan segala sudut dari segi keadilan akan dilaksanakan mengikut proses undang-undang.

"Saya minta kepada pihak pemberita supaya tidak berlebih-lebihan berkaitan cerita ini. Perkara ini dikhuatiri akan mengganggu proses penghakiman dan keadilan apabila ia berlangsung," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan ke kediaman keluarga mangsa di Taman Chepor Sentosa, Meru di sini.

Semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut dan perlu meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap proses undang-undang di negara ini.

Turut hadir Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi dan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris.

Sementara itu, Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi berkata, pengguna media sosial perlu lebih sensitif terhadap keluarga mangsa untuk tidak menjadikan insiden kemalangan itu sebagai kandungan di media sosial.

"Jadi saya harap pengguna media sosial lebih cakna berkenaan perkara ini. Jangan pula menggunakan kandungan tersebut demi meraih populariti.

"Saya juga akan buat laporan kepada SKMM supaya pengguna yang masih berdegil akan dikenakan tindakan," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris menafikan wujud layanan 'double standard' ke atas Pegawai Kanan Polis yang dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh atas kesalahan membunuh pelajar tingkatan lima pada Jumaat lalu.

Pihak polis memberikan layanan kepada tertuduh, Muhd Nazri Abdul Razak sama seperti pesalah-pesalah lain.

"Jadi kita membuat kawalan di mahkamah bagi menjaga keamanan dan kententeraman di kawasan mahkamah. Jadi tidak ada isu 'double standard'," katanya.

Bagaimanapun Azizi Mat Aris berkata prosedur yang dikenakan kepada tertuduh adalah prosedur biasa untuk kes-kes pesalah biasa dan ia bukan kes berprofil tinggi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI