GOMBAK, 19 November – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memandang serius insiden runtuhan struktur sementara steel canopy di Tapak Bina Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 8, Jalan MRR2 FT28, yang berlaku pada 18 November lalu sehingga menyebabkan seorang wanita awam cedera.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, siasatan awal JKKP mendapati struktur berkenaan hanyalah perlindungan sementara bagi mengelakkan objek jatuh ke jalan raya dan tidak direka untuk menampung beban hentakan.
“Siasatan beberapa agensi, termasuk agensi saya di bawah DOSH atau JKKP, sedang dijalankan. Kita sedang meneliti isu ini di bawah Seksyen 15(1). Nama-nama kontraktor mungkin pihak media sudah tahu. Kita juga telah mengeluarkan Notis Larangan Bekerja kepada kontraktor utama di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
"Siasatan awal turut mendapati insiden berlaku apabila boom jentera skylift milik subkontraktor Wuhan Construction Sdn. Bhd. melanggar struktur tersebut ketika kerja pemeriksaan ketebalan cat dijalankan," katanya.
DOSH juga mengenal pasti bahawa kerja berisiko tinggi itu dijalankan tanpa permit kerja bertulis daripada kontraktor utama, China Communication Construction Sdn. Bhd.
Sehubungan itu, DOSH mengeluarkan Notis Larangan Bekerja kepada kontraktor utama, melarang semua kerja pemeriksaan ketebalan cat pada struktur berkenaan sehingga satu sistem kerja selamat diwujudkan dan disahkan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) pula mengarahkan baki dua lagi struktur steel canopy yang hampir sama di kawasan berhampiran dihentikan operasinya serta-merta untuk pemeriksaan keselamatan.
Datuk Seri Abdul Rahman menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan tindakan tegas, termasuk denda, akan diambil sekiranya berlaku kecuaian atau pelanggaran peraturan.
Beliau turut menggesa semua kontraktor dan subkontraktor mematuhi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, terutamanya dalam memastikan pentaksiran risiko dilakukan sejak peringkat reka bentuk sehingga projek siap sepenuhnya.
KESUMA memaklumkan bahawa pemantauan projek pembinaan berisiko tinggi akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam sentiasa berada pada tahap optimum.