fb fb fb fb fb

Malaysia-China perkukuh kerjasama strategik menerusi ACFTA 3.0

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/ Foto FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 19 November – Hubungan Malaysia-China disifatkan sebagai praktikal, strategik dan berorientasikan masa depan, disokong momentum perdagangan yang semakin kukuh menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA) yang dipertingkat kepada ACFTA 3.0 tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dengan China, ASEAN serta komuniti global bagi merancakkan inovasi, menarik pelaburan dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.

"Mesej yang mesti kita sampaikan hari ini mudah, Malaysia-China, malah ASEAN–China, sudah bergerak maju bersama. Persoalannya sekarang bukan sama ada kita boleh berkembang, tetapi sejauh mana kita berani bertindak.

"Yang penting ialah seberapa pantas kita bergerak, seberapa strategik tindakan kita dan sejauh mana kita dapat mengubah kerjasama ini menjadi kemakmuran sebenar untuk rakyat kita.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET 2025) di ibu negara.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut memberi jaminan kepada Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, bahawa hubungan dua hala antara kedua-dua negara kekal utuh dan terus berkembang.

"Duta Ouyang Yujing (Duta Luar Biasa dan Berkuasa Penuh Republik Rakyat China ke Malaysia), jangan risau tentang sebarang perjanjian (perdagangan) yang ditandatangani dengan mana-mana negara. Ini kerana, hubungan ikhlas kita dengan China akan terus kukuh dan kekal selamanya.

Tambahnya lagi, perkembangan serentak ASEAN dan China akan memberi manfaat kepada semua pihak termasuk golongan belia, komuniti perniagaan dan masyarakat secara keseluruhan, sekali gus membentuk masa depan yang lebih makmur, stabil dan inklusif.

Dalam aspek pembangunan masa depan, Malaysia komited memperluas kerjasama dengan China dalam bidang teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi dan Kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkasa kemahiran belia serta memenuhi keperluan industri.

Sidang Kemuncak GCET 2025 anjuran Institut Strategik KSI bertema “Global Leadership & Partnership in the Age of Digital and Green Transformation”.

Ia menghimpunkan pemimpin, pembuat dasar dan tokoh perniagaan untuk membincangkan masa depan ekonomi digital, inovasi teknologi, pembangunan hijau serta kerjasama China–ASEAN.

ROSLINA BINTI DIN