DUNGUN, 1 Januari – Adik kepada dua mangsa lemas, Nur Mashitah Shafie sempat menceritakan bagaimana kakak sulungnya, Nor Baizura dan abangnya, Mohd Fazir dihanyutkan arus ketika mandi di Pantai Sura Tengah, di sini pagi tadi.
Nur Masitah, 22, berkata beliau terlihat kakaknya terkapai-kapai sementara abangnya bergegas ingin membantu kakak sebaik sahaja menyedari kakak lemas.
Bagaimanapun, Nur Masitah berkata kedua-dua mereka terus dihanyutkan arus kuat ke tengah laut lalu hilang dari pandangan.
Mayat Nor Baizura ditemui kira-kira pukul 10.54 pagi tadi sementara Mohd Fazir, masih hilang.
"Saya hanya menyedari kakak lemas selepas melihat tangannya terkapai-kapai ketika dihanyut ombak.
"Saya jerit meminta abang saya Mohd Fazir membantu dan dia bergegas berenang membantu kakak. Abang sudah dapat capai tangan kakak, namun mereka terpisah akibat dipukul ombak dan kedua-duanya dilihat tenggelam timbul sebelum dibawa arus," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Dungun di sini hari ini.
Nur Mashitah berkata, kakaknya, Nor Baizura, 39, yang tinggal di Johor Bahru dan Mohd Fazir, 37, tinggal di Kuantan, Pahang, masing-masing pulang ke kampung mereka di Kampung Paya Balai Besar, di sini sempena cuti sekolah.
Sebelum kejadian, beliau bersama empat adik beradik dan dua kakak ipar serta ibunya, Zaleha Hassan, 54, serta lapan anak saudaranya ke pantai berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi untuk berkelah.
Menurut Nur Mashitah, kakaknya itu mempelawa mereka mandi pantai sejak minggu lepas lagi, namun beliau enggan kerana ombak masih lagi tinggi.
Bagaimanapun, pagi tadi mereka bersetuju ke pantai berkenaan untuk berkelah dan mandi kerana ombak tidak bergelora dan keadaan laut agak tenang.
Sehingga pukul 7 petang tadi, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih melakukan pencarian dan mangsa masih belum ditemukan.
Menurut Nur Mashitah, jenazah kakaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, selepas selesai urusan bedah siasat.
