fb fb fb fb fb

Ombak kuat, elak aktiviti pantai - Polis Terengganu

FOTO BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Masih terdapat pengunjung yang berdegil dan terus menjalankan aktiviti di pantai serta kawasan rekreasi di seluruh Terengganu, meskipun nasihat serta amaran telah dikeluarkan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata peringatan serta amaran keras diberikan sekali lagi kepada semua pengunjung supaya tidak mandi-manda, khususnya di laut, berikutan keadaan ombak yang sangat kuat ketika ini.

Amaran keras itu dikeluarkan susulan insiden lemas yang berlaku di Pantai Sura Tengah, Dungun, pagi tadi.

Insiden berkenaan melibatkan dua beradik, dengan seorang mangsa ditemukan lemas manakala seorang lagi masih hilang.

"MTL (Monsun Timur Laut) ini menjadi tarikan di kawasan pantai dan orang ramai. Oleh itu, saya menasihatkan sekali lagi, walaupun banyak kali nasihat telah diberikan, agar orang ramai sentiasa berhati-hati dan tidak menghampiri gigi air di kawasan pantai tersebut ketika ombak kuat.

"Kita memang tidak dapat mengelakkan kejadian itu daripada berlaku, namun saya sebagai Ketua Polis Terengganu mengingatkan orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan pantai ketika ombak kuat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kuala Terengganu.

Beliau turut menasihatkan para nelayan yang keluar menangkap ikan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan.

"Begitu juga kepada nelayan yang menggunakan bot kecil, saya meminta mereka supaya sentiasa berhati-hati dan memantau keadaan cuaca setiap hari.

"Selain itu, berhati-hatilah dan pastikan memakai jaket keselamatan, walaupun pekerjaan sebagai nelayan merupakan punca rezeki mereka. Bagaimanapun, nyawa perlu diutamakan," katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM