SEPANG, 19 November - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melancarkan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kesihatan Haiwan dan Zoonosis (ACCAHZ) yang beroperasi di Makmal Kesihatan Awam Veterinar, Salak Tinggi di sini bagi memperkukuh usaha penyelarasan aktiviti berkaitan kesihatan haiwan dan zoonosis di peringkat serantau.
Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak berkata, penubuhan pusat itu bakal mempertingkat kerjasama antara negara ASEAN serta memperkukuh rangka kerja kawalan penyakit haiwan dan zoonosis melalui jaringan strategik bersama pelbagai pertubuhan antarabangsa.
Beliau berkata, ACCAHZ dijangka memberi manfaat besar kepada negara-negara anggota ASEAN khususnya dalam mempercepat tindakan respons, perkongsian data dan pembangunan kapasiti bagi menghadapi ancaman penyakit merentas sempadan.
"ACCAHZ merupakan sebuah entiti sah yang mempunyai kuasa perundangan untuk menyelaras usaha antara negara-negara ASEAN dalam memantau dan melaksanakan langkah berkaitan kawalan penyakit haiwan dan zoonosis.
"Penyakit tersebut boleh merebak daripada haiwan kepada manusia, yang bukan sahaja menjejaskan sektor ternakan malah turut memberi ancaman besar kepada ekonomi negara.
"ACCAHZ yang beroperasi di Salak Tinggi kini menjadi entiti serantau baharu bagi memperkukuh komunikasi dan koordinasi usaha pencegahan serta kawalan penyakit haiwan dan zoonosis di peringkat ASEAN," katanya pada sidang media selepas merasmikan ACCAHZ hari ini.
Terdahulu, perjanjian penubuhan ACCAHZ telah ditandatangani bersama 10 Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) pada 7 Oktober 2016 yang mana antara perkara dipersetujui adalah Malaysia akan menjadi negara tuan rumah secara penggiliran yang pertama selama 4 tahun, diikuti Thailand dan seterusnya negara anggota serantau ASEAN.