DUNGUN, 1 Januari - Kegembiraan sebuah keluarga berkelah di Pantai Sura Tengah, di Dungun, Terengganu bertukar tragedi apabila dua beradik dilaporkan lemas ketika mandi di pantai berkenaan pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.27 pagi itu, dua beradik yang berasal dari Kampung Paya, Balai Besar, Dungun dikatakan lemas ketika mandi selepas dipukul ombak.
Mayat Nor Baizura Shafie, 39 tahun ditemui pukul 10.54 pagi tadi manakala pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan untuk mencari adiknya, Mohd Fazir Shafie, 37 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharizal Samsuddin berkata, 10 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.27 pagi.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengambil mangsa menggunakan tali dan berjaya membawa mangsa ke darat dan disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan sekarang ini pencarian anggota seramai 55 orang terdiri dari pelbagai agensi, kami membuat pencarian di persisir pantai, anggaran jarak lebih kurang dalam lima kilometer," kata beliau ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Pasukan penyelamat berjaya menemui salah seorang mangsa selepas 25 minit pencarian dilakukan dan bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
Menurut Sharizal, pencarian seorang lagi mangsa masih lagi diteruskan dengan menggunakan bot dan turut dibantu anggota polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Sebelum kejadian, keluarga berkenaan yang terdiri daripada tujuh dewasa dan lapan kanak-kanak dikatakan ke pantai berkenaan untuk berkelah.
Kejadian berlaku apabila kakak mangsa tiba-tiba lemas ketika mandi manakala adiknya, Mohd Fazir dikatakan ingin menyelamatkan kakaknya yang hanyut dibawa arus.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka hanyut dipukul ombak sebelum dibawa arus ke tengah laut.
Mayat Nor Baizura telah diserahlan kepada polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
