fb fb fb fb fb

Bekalan elektrik 50 unit kediaman di Pangsapuri Seri Perantau dipulihkan

Exco Perumahan dan kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah / RTM

KLANG, 1 Januari - Bekalan elektrik bagi 50 unit kediaman di Blok C, Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang telah dipulihkan selepas terjejas sejak 7 Disember lalu susulan kebakaran bilik sesalur elektrik.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, berkata baki 78 unit kediaman masih dalam proses pemulihan, tertakluk kepada penilaian keselamatan pendawaian dan struktur sistem elektrik bangunan.

“Setakat ini, 50 rumah telah selesai. Ada 78 sahaja lagi yang masih dalam perhatian untuk pastikan mereka boleh diberi bekalan elektrik sebab ini perlu untuk keselamatan daripada berlakunya short dan sebagainya. Perkhidmatan lif dah pulih sepenuhnya, bekalan air pun dah pulih. Kita minta kerjasama kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih secepat mungkin.”

Jelas beliau, kerajaan negeri bekerjasama dengan kontraktor terlibat untuk mempercepatkan kerja baik pulih sepanjang Januari ini.

Sementara itu, Ketua Blok C, Azizul Anuar Abu Karim, melahirkan kesyuluran terhadap perkembangan positif kerja baik pulih dan berharap masalah bekalan elektrik dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum ketibaan Ramadan.

“Harapan saya, seperti yang saya cakap dengan Datuk sebelum Ramadan, sekurang-kurangnya dapat kita gunakan semuanya. Alhamdulillah untuk bantuan makanan tak putus, hari-hari ada je yang datang membantu", katanya ketika ditemui RTM.

Sebelum ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersetuju menyalurkan peruntukan sehingga RM2 juta bagi menampung kos pembaikan, selain inisiatif tanggungjawab sosial korporat bersama TNB melalui Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan.

Kebakaran yang berlaku awal Disember lepas berpunca daripada kelemahan penyelenggaraan, sekali gus menjejaskan sistem bekalan elektrik dan kemudahan asas termasuk lif, melibatkan keseluruhan 128 unit kediaman di blok berkenaan.

Sementara itu,kira-kira 100 pelajar yang tinggal di Blok C, Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang menerima bantuan persekolahan melalui program Ceria ke Sekolah (CKS) 2026 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sumbangan disampaikan oleh Exco Perumahan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, yang menekankan bahawa inisiatif ini mencerminkan keprihatinan TNB terhadap komuniti, bukan sahaja sebagai pembekal tenaga elektrik tetapi juga dalam menyokong kebajikan penduduk terjejas.

Bantuan itu diberikan bagi meringankan beban keluarga yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik susulan kebakaran bilik sesalur elektrik awal Disember lalu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD