KUALA LUMPUR, 1 Januari - Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) akan menutup ruang operasi penjenayah siber serta membantu mengekang penyebaran kandungan berbahaya di platform digital, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Beliau berkata ONSA merupakan kerangka perundangan baharu yang menyokong usaha kerajaan meningkatkan keselamatan digital negara.
Langkah itu juga sejajar dengan peningkatan ancaman jenayah yang semakin serius dalam talian dan memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, berdasarkan rekod Polis diraja Malaysia (PDRM), rakyat Malaysia menanggung kerugian sebanyak RM2.77 bilion akibat jenayah penipuan dalam talian bagi tempoh Januari 2023 hingga November 2025.
"Dalam tempoh sama, sebanyak 688 kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian direkodkan dari Januari 2021 hingga November 2025, manakala 351 kes Child Sexual Abuse Material (CSAM) dilaporkan sehingga Oktober 2025.
“Pelaksanaan ONSA adalah langkah penting bagi memastikan platform digital bertanggungjawab dalam melindungi pengguna, selain memperkukuh tindakan terhadap eksploitasi kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyalahgunaan identiti serta kandungan ekstremisme,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Mohd Khalid berkata pendekatan itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk melindungi rakyat dan memastikan keselamatan mereka dalam persekitaran siber pada masa hadapan.
"PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kementerian berkaitan serta penyedia platform digital melalui pendekatan whole-of-government," katanya.
Katanya, kerjasama itu bagi memastikan tindakan terhadap jenayah siber dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan.
Katanya lagi, seiring pelaksanaan ONSA, PDRM komited meningkatkan kesiapsiagaan dalaman melalui pengukuhan keupayaan pemantauan digital, penambahbaikan proses siasatan dan perkongsian maklumat strategik tanpa mendedahkan butiran operasi yang boleh menjejaskan keselamatan.
Beliau yakin ONSA akan meningkatkan integriti ruang digital negara serta memastikan keselamatan generasi masa hadapan dalam menghadapi landskap siber yang semakin kompleks.
