KKM nafi klinik kesihatan tidak terima pesakit ‘walk-in’

KUALA LUMPUR, 1 Januari – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa Klinik Kesihatan tidak lagi menerima pesakit ‘walk-in’, sambil menegaskan maklumat tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai.

RINGKASAN BERITA AI
  • KKM nafi dakwaan bahawa Klinik Kesihatan tidak menerima pesakit walk-in.
  • Sistem janji temu adalah kaedah utama pengurusan pesakit di klinik.
  • Perkhidmatan walk-in diteruskan terutama untuk kecemasan, warga emas dan yang sukar akses teknologi.
  • Pesakit tanpa janji temu akan dilayan selepas melalui penilaian awal atau triage.
  • Pesakit berjanji temu diberi keutamaan mengikut slot masa ditetapkan.

Menurut kenyataan KKM di platform X, walaupun sistem janji temu digunakan sebagai kaedah utama pengurusan pesakit, perkhidmatan ‘walk-in’ masih diteruskan khususnya bagi kes kecemasan, warga emas serta individu yang mempunyai kekangan akses kepada teknologi.

“Pesakit tanpa janji temu tetap akan dilayan, namun perlu melalui proses penilaian awal atau ‘triage’ terlebih dahulu.

“Pesakit yang mempunyai janji temu pula akan diberikan keutamaan mengikut slot masa yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

KKM turut menegaskan pihaknya memahami perbezaan tahap akses teknologi dalam kalangan masyarakat dan komited memastikan setiap lapisan rakyat mendapat akses rawatan kesihatan yang adil dan saksama.