fb fb fb fb fb

24 substrategi NACS berjaya diselesaikan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Prestasi NACS Siri 3 Bil. 2/2025 di Bangunan Perdana Putra / Facebook SPRM

PUTRAJAYA, 19 November -Sebanyak 24 substrategi bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 berjaya disempurnakan setakat 18 November 2025.

Ia sekali gus, menunjukkan perkembangan positif usaha kerajaan memperkukuh integriti dan membanteras rasuah di Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, 13 Ketua Agensi Peneraju termasuk SPRM berjaya melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab masing-masing, dengan lima substrategi siap pada 2024.

Manakala baki 19 diselesaikan setakat November ini.

“Kejayaan ini adalah manifestasi komitmen, kecekapan dan dedikasi tinggi semua agensi peneraju dalam memastikan matlamat NACS tercapai,” katanya dalam satu kenyataan.

Tan Sri Azam turut menggesa agensi yang telah menyiapkan substrategi masing-masing agar mempergiatkan hebahan dan publisiti pencapaian itu mengikut kemampuan peruntukan mereka.

Menurutnya, pelaksanaan NACS juga menjadi faktor penting peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

“Pelaksanaan NACS disokong Pasukan Petugas Khas CPI, dan ia antara pemangkin utama peningkatan prestasi negara dalam indeks berkenaan,” jelasnya.

Setakat ini, sembilan substrategi jangka pendek masih belum diselesaikan dan perlu disempurnakan sebelum 31 Disember nanti.

Empat agensi telah memohon pelanjutan masa dan akan dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 8 Disember.

Baki lima substrategi lain pula diminta untuk menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan.

SPRM melalui Sekretariat NACS turut menyatakan kesediaan membantu agensi peneraju yang berdepan cabaran melaksanakan substrategi masing-masing.

Pemantauan kemajuan dilaksanakan melalui dua papan pemuka digital, r-NACS dan d-NACS, yang beroperasi menggunakan pelayan SPRM bagi memastikan ketelusan dan kawal selia berkesan.

Tan Sri Azam berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Prestasi NACS Siri 3 Bil. 2/2025 di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr. Awang Alik Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid, serta wakil agensi peneraju.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN