ADDIS ABABA 19 November - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini berada di ibu negara Ethiopia, dibawa melawat mercu tanda penting negara berkenaan iaitu Muzium Peringatan Kemenangan Adwa (Adwa Victory Memorial Museum) pada hari kedua lawatan rasmi beliau.
Ketibaan beliau ke muzium itu disambut oleh Menteri Hal Ehwal Luar Ethiopia Dr Gedion Timothewos dan Datuk Bandar Addis Ababa Adanech Abiebie.
Beliau turut memeriksa kawalan kehormatan di Dataran Adwa sebelum diiringi Dr Gedion dan Adanech dalam lawatan ke muzium berkenaan.
Muzium yang penuh dengan keunikan itu mengabdikan pelbagai artifak sejarah dan lukisan yang menelusuri dengan terperinci catatan sejarah, martabat, keberanian dan keteguhan rakyat Ethiopia semasa berdepan dengan kuasa imperialis Itali dalam Pertempuran Adwa 1896.
Ia tidak hanya mercu kejayaan rakyat dan tentera Ethiopia, tetapi menjadi simbol tegas penolakan terhadap imperalisme yang dihadapkan ke atas benua Afrika.
Kemenangan di Adwa menjadi petunjuk jelas serta menginspirasikan keyakinan dan sumber kekuatan kepada pelbagai gerakan kemerdekaan selepasnya yang bercambah dan melata secara menyeluruh ke seluruh benua Afrika.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Lawatan tiga hari Datuk Seri Anwar ke negara yang mendapat julukan 'Tanduk Afrika' itu adalah yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia dan juga lawatan balas susulan kunjungan rasmi Abiy ke negara ini pada Oktober tahun lepas.