PUTRAJAYA, 19 November - Sebuah program berskala nasional yang menghimpunkan pelbagai inisiatif utama kerajaan di bawah satu bumbung akan berlangsung di pekarangan Dataran Putrajaya selama tiga hari, bermula 5 hingga 7 Disember ini.
Buat pertama kalinya, tujuh segmen berkenaan, meliputi pelbagai kluster rakyat dan dasar nasional ditampilkan serentak ; merangkumi Produk Rakyat MADANI, Kesejahteraan Rakyat MADANI, Kepengerusian ASEAN dan Hubungan Antarabangsa, Ukhuwah Rakyat MADANI, Belia MADANI, Tahun Melawat Malaysia 2026 serta ARPA, menerusi 'Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 (Program Rancakkan MADANI)'.
Menurut kenyataan media, program tersebut bertujuan menonjolkan pencapaian dasar serta keberhasilan inisiatif kerajaan secara telus, sekali gus memperkukuh pemahaman rakyat terhadap hala tuju Malaysia MADANI.
Program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dengan kerjasama JPA dan MPC, itu turut berperanan sebagai platform mempromosikan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
Melalui pendekatan Associated and Integrated Strategy, ARPA digerakkan bagi memastikan perkhidmatan kerajaan kekal cekap, berintegriti dan berorientasikan rakyat.
Ia juga membuka ruang interaksi langsung antara rakyat dan pimpinan kerajaan, termasuk Perdana Menteri, Jemaah Menteri serta barisan kepimpinan tertinggi negara, bagi mendengar pandangan dan memahami keperluan masyarakat.
Pengunjung turut ditawarkan pelbagai aktiviti keluarga, pameran dan perkhidmatan percuma termasuk pameran aset pertahanan, perkhidmatan kesihatan, TVET dan STEM, karnival kerjaya, mini karnival pelancongan, Jualan Rahmah, Fiesta Coffee, penukaran topi keledar percuma, servis motosikal percuma, gunting rambut percuma, pertandingan sukan jalanan serta e-sukan.
Sebagai komponen utama, Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 akan menampilkan ucaptama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri selain siri forum merentas pelbagai sektor yang membincangkan masa depan reformasi perkhidmatan awam.
Majlis penutupan pada 7 Disember akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum sesi townhall dan walkabout bersama pengunjung.
Program ini meneruskan tradisi pelaporan tahunan kerajaan melalui Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (PSBKM) dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM), sebagai simbol komitmen kerajaan terhadap penyampaian yang telus, berterusan dan berpaksikan rakyat.