
KUALA LUMPUR, 3 Mac – PETRONAS giat mempelbagai sumber alternatif bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal mencukupi, selain, memperkemas perancangan operasi untuk lebih responsif terhadap sebarang gangguan.
- Pengguna diminta elak pembelian panik dan penyorokan bekalan bagi menyokong kestabilan bekalan tenaga.
- Keselamatan tenaga memerlukan kerjasama semua pihak; pengguna mesti amalkan penggunaan berhemah dan kurangkan pembaziran.
- PETRONAS meningkatkan kecekapan melalui pengoptimuman operasi, pengurangan perbelanjaan tidak kritikal dan penggunaan analitik perancangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, usaha mendapatkan sumber baharu kini berada pada tahap maju dan dijangka mencapai lebih banyak kepastian dalam masa terdekat.
Menurutnya, pendekatan perancangan hiliran turut disesuaikan dengan memendekkan tempoh perancangan daripada tiga bulan kepada 45 hari bagi meningkatkan kecekapan tindak balas terhadap isu bekalan.
“Cabaran bekalan selepas bulan Mei tidak boleh ditangani melalui peningkatan pengeluaran semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pengguna.
“Pengguna perlu bertanggungjawab dengan mengelakkan pembelian panik dan aktiviti penyorokan bekalan,” katanya ketika menjadi tetamu Bicara Naratif Khas bertajuk Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global.
Dalam perkembangan berkaitan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, krisis tenaga bukanlah perkara baharu dan dunia telah melalui beberapa episod besar, termasuk, Krisis Terusan Suez, krisis tenaga 1973–1974 yang membawa kepada penubuhan PETRONAS pada 1974, konflik Iran-Iraq pada 1980-an serta Perang Teluk.
Katanya, setiap krisis lazimnya memberi kesan kepada lonjakan harga minyak, namun PETRONAS terus memainkan peranan memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil.
Beliau turut menegaskan keupayaan PETRONAS menghadapi krisis berulang bukan hanya bergantung kepada pengurusan tertinggi, tetapi hasil sumbangan seluruh warga syarikat sejak penubuhannya.
“Peningkatan kos global menjadikan usaha mengekalkan subsidi bahan api semakin mencabar, khususnya dengan peningkatan kos import dan pemprosesan.
“Selain terdapat juga negara yang berdepan kekurangan bekalan secara langsung, menunjukkan isu sebenar bukan sahaja berkaitan harga tetapi juga ketersediaan bekalan,”katanya.
Bagi meningkatkan kecekapan, PETRONAS telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk mengoptimumkan operasi, mengurangkan perbelanjaan tidak kritikal serta memanfaatkan analitik dalam perancangan.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan tenaga bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau industri, tetapi turut melibatkan peranan pengguna.
“Prinsip kecekapan sebagai bahan api pertama perlu diamalkan melalui penggunaan tenaga secara berhemah dan pengurangan pembaziran,” katanya.