
SAUDARA PENGARANG
- Laporan cuaca bulanan mengaburi lonjakan haba singkat yang boleh mencetuskan tekanan fisiologi dan kemerosotan hasil ternakan udang.
- Analisis satelit beresolusi tinggi dengan "pentad" lima hari mampu mengesan hari ekstrem yang tidak muncul dalam purata bulanan.
- Penternak perlu beralih ke langkah proaktif seperti peningkatan pengudaraan dan jadual makan disesuaikan berasaskan data iklim mikro setempat.
Apabila memperkatakan tentang fenomena perubahan iklim, masyarakat sering membayangkan bencana besar seperti banjir, gelombang haba berpanjangan atau perubahan corak monsun yang tidak menentu.
Namun bagi komuniti penternak udang tempatan, kesan perubahan iklim boleh dirasai dalam bentuk yang lebih langsung. Beberapa hari cuaca yang luar biasa panas berupaya menjejaskan prestasi ternakan dan memberi kesan kepada hasil pengeluaran.
Bagi sektor akuakultur Malaysia, unjuran suhu bukan lagi sekadar angka. Sedikit sahaja lonjakan suhu mampu memberi impak rantaian yang besar.
Sela masa cuaca panas yang singkat dikesan boleh menyebabkan udang mengalami tekanan fisiologi, merencat pertumbuhan, melemahkan sistem imuniti, sekali gus meningkatkan risiko penularan wabak penyakit.
Malangnya, tempoh ekstrem yang singkat ini sering kali ‘tenggelam’ dan gagal dikesan dalam purata laporan cuaca bulanan yang dikeluarkan secara konvensional.
Unjuran Data Satelit 30 Tahun
Bagi memahami risiko ini dengan lebih mendalam, satu kajian komprehensif telah dijalankan oleh kumpulan penyelidik dari Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (i-AQUAS) serta Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Kajian yang mendapat sokongan geran antarabangsa IDRC-2 itu meneliti impak perubahan iklim terhadap operasi akuakultur negara melalui analisis data iklim mikro berasaskan satelit beresolusi tinggi bagi tempoh lebih 30 tahun, iaitu dari tahun 1983 hingga 2016.
Penyelidikan tersebut memberi tumpuan kepada tiga kawasan utama ternakan udang di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, iaitu Kuala Terengganu di Terengganu, Pekan di Pahang dan Senai di Johor.
Menariknya, berbanding kaedah konvensional yang melihat tren iklim secara bulanan atau bermusim, para penyelidik UPM mengaplikasikan kaedah pembahagian garis masa kepada sela lima hari yang dikenali sebagai “pentad”.
Pendekatan ini membolehkan pengesanan tempoh kritikal dilakukan secara mikro dan lebih tepat.
Ancaman Suhu Melebihi 35°C
Hasil kajian menunjukkan bahawa antara tahun 1983 hingga 2016, kawasan ternakan yang dikaji merekodkan tambahan kira-kira 75 hari panas dengan suhu mencecah atau melebihi 35°C. Ini bersamaan dengan peningkatan purata satu hingga dua hari panas tambahan setiap tahun.
Bagi spesies udang putih (whiteleg shrimp) yang merupakan antara spesies paling dinamik dan banyak diternak di Malaysia pendedahan kepada suhu melebihi ambang 35°C ini merupakan isyarat bahaya yang boleh mencetuskan kejutan biologi.
Impak penemuan ini membuktikan bahawa purata data bulanan boleh memperdaya. Sesuatu bulan mungkin kelihatan mempunyai rekod suhu yang “normal” secara keseluruhan, namun hakikatnya terdapat beberapa hari ekstrem di dalamnya yang cukup untuk memusnahkan ekosistem kolam ternakan.
Adaptasi Teknologi dan Langkah Proaktif
Di sinilah pentingnya integrasi analisis iklim resolusi tinggi dalam mendepani cabaran sekuriti makanan negara. Melalui pengenalan tetingkap risiko lima hari (pentad) ini, penternak kini mampu beralih daripada kaedah reaktif (bertindak selepas rugi) kepada proaktif (bersiap sedia lebih awal).
Antara langkah proaktif yang boleh dipertimbangkan ialah meningkatkan sistem pengudaraan bagi membantu mengekalkan tahap oksigen terlarut dalam kolam, memandangkan air yang lebih panas mempunyai kapasiti pegangan oksigen yang lebih rendah.
Selain itu, jadual pemberian makanan juga boleh disesuaikan dengan memilih waktu yang kurang panas bagi mengurangkan beban tekanan metabolik udang.
Pemacu Keterjaminan Sektor Agrimakanan Negara
Walaupun model kajian i-AQUAS UPM ini memberi tumpuan kepada industri akuakultur, pendekatan analisis iklim beresolusi tinggi tersebut berpotensi diaplikasikan dalam pelbagai sektor agrimakanan lain.
Dalam sektor pertanian, pendekatan ini boleh membantu pesawah dan peladang mengenal pasti tempoh kemarau singkat yang menjejaskan kelembapan tanah.
Bagi sektor penternakan pula, ia berupaya membantu mengesan fasa tekanan haba yang boleh memberi kesan kepada produktiviti ternakan ayam dan ruminan.
Di samping itu, maklumat iklim yang lebih terperinci juga boleh dimanfaatkan dalam perancangan infrastruktur dan logistik bagi mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan akibat cuaca ekstrem setempat.
Tuntasnya, bersandar kepada ramalan cuaca makro semata-mata tidak lagi memadai dalam mendepani iklim yang semakin tidak menentu. Malaysia memerlukan anjakan ke arah data iklim mikro setempat bagi memastikan rantaian industri bersedia sebelum badai krisis melanda.
Ia kerana kadangkala, ancaman terbesar kepada keterjaminan makanan negara tidak terlihat pada purata data iklim tahunan, ia tersembunyi dalam hitungan beberapa hari yang kritikal.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Madya Dr Yuzine Esa
Jabatan Jabatan Akuakultur
Fakulti Pertanian
Universiti Putra Malaysia
E-mel: yuzine@upm.edu.my

Nur Syazwani Abdullah
Doktor Falsafah
Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS)
Universiti Putra Malaysia