
KUALA LUMPUR, 3 Mac– Malaysia kekal sebagai pengeluar dan pengeksport bersih tenaga meskipun terpaksa berdepan dengan krisis ketidaktentuan global yang mencabar.
- Permintaan tenaga meningkat dan bekalan negara lebih stabil berbanding beberapa negara ASEAN lain.
- Status eksport bersih didorong oleh eksport gas asli yang konsisten sejak 1993.
- Kebergantungan import sekitar 40 peratus; tidak boleh anggap pasaran domestik terlindung sepenuhnya.
- Pengeluaran minyak menurun sejak dua dekad; kini sekitar 350,000 tong sehari sementara permintaan domestik terus meningkat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata permintaan tenaga terus menunjukkan peningkatan dan status bekalan negara dilihat jauh lebih stabil berbanding beberapa negara ASEAN lain.
Menurut beliau, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih sebahagian besarnya didorong oleh komoditi gas asli yang telah dieksport secara konsisten sejak tahun 1993.
“Disebabkan kita masih mempunyai pengeluaran tenaga dan secara keseluruhan merupakan pengeksport bersih tenaga, terdapat keyakinan bahawa bekalan kita masih mencukupi berbanding negara-negara ASEAN lain yang mungkin bergantung kepada import melebihi 90 peratus.
“Di Malaysia, kadar kebergantungan kepada import adalah sekitar 40 peratus. Namun demikian, kita tidak boleh menganggap bahawa pasaran pengguna kita terlindung sepenuhnya,” katanya ketika menjadi tetamu Bicara Naratif Khas bertajuk Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global, di sini.
Malaysia pernah mencatatkan pengeluaran minyak yang melebihi keperluan domestik sekitar tahun 1990 hingga awal 2000-an.
Bagaimanapun, sejak dua dekad lalu, pengeluaran minyak negara menunjukkan trend penurunan ekoran sifat sumber asli tersebut yang semakin berkurangan akibat penerokaan berterusan.
Pada masa ini, pengeluaran minyak negara dianggarkan sekitar 350,000 tong sehari, manakala permintaan domestik pula terus mencatatkan pertumbuhan.