Penerimaan 225 permohonan bengkel filem, bukti potensi besar belia

Foto FINAS

KULAI, 3 April– Sebanyak 225 permohonan telah diterima daripada pelbagai persatuan dan syarikat bagi melaksanakan Bengkel Komuniti Filem serta inisiatif Belia Kreatif di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program diteruskan hingga Disember 2027 dengan sasaran penganjuran di 240 lokasi.
  • Sehingga 31 Mac, 60 permohonan diluluskan, 32 program dilaksanakan melibatkan 960 belia; bukti potensi besar golongan muda.
  • Bengkel tiga hari untuk peserta bawah 30 tahun, modul penceritaan, pembangunan skrip, lakonan, pengendalian kamera dan suntingan kreatif.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata program yang bermula sejak November tahun lalu itu akan diteruskan sehingga Disember 2027 dengan sasaran penganjuran di 240 lokasi.

Jelasnya, setakat 31 Mac lalu, sebanyak 60 permohonan telah diluluskan dengan 32 program berjaya dilaksanakan melibatkan 960 belia.

“Sambutan menggalakkan ini membuktikan potensi besar golongan muda dalam industri kreatif,” katanya.

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan peserta berusia bawah 30 tahun bagi setiap sesi.

Peserta diberikan pendedahan mendalam melalui modul penceritaan, pembangunan skrip, lakonan, teknik pengendalian kamera, serta suntingan kreatif.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Belia Kreatif Komuniti MADANI yang bermatlamat untuk memperkukuh pembangunan modal insan dalam sektor kreatif negara secara menyeluruh.