Op Dadu Khas: 67 ditahan dalam serbuan premis judi haram

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar Muthuvelu

KUALA LUMPUR, 3 April– Seramai 67 individu termasuk 26 warga asing ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam serbuan ke atas 13 buah premis perjudian yang berselindung di sebalik lesen pusat hiburan keluarga dan e-sukan dalam operasi khas di Selangor dan Sabah, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tangkapan melibatkan penjaga premis dan pemain, berumur antara 20 hingga 75 tahun.
  • Op Dadu Khas dijalankan oleh Bahagian D7 JSJ Bukit Aman dengan bantuan kontinjen negeri.
  • Pelbagai peranti elektronik dirampas termasuk televisyen, tablet, komputer riba, alat kawalan konsol, mesin simulator serta wang tunai.
  • Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis, siasatan dijalankan di bawah akta perjudian dan imigresen.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar Muthuvelu berkata kesemua tangkapan berusia antara 20 hingga 75 tahun itu terdiri daripada penjaga premis dan pelanggan.

Tangkapan dilakukan menerusi Op Dadu Khas yang dijalankan oleh Bahagian D7 JSJ Bukit Aman dengan bantuan Kontinjen Selangor serta Sabah pada 1 dan 2 April lalu.

“Dalam serbuan di Selangor, polis berjaya merampas pelbagai peranti elektronik yang disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian.”

“Antaranya termasuk sembilan unit televisyen, 95 unit tablet, 17 unit komputer riba, 61 alat kawalan konsol, 17 mesin simulator, serta wang tunai berjumlah RM9,873,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di lima buah premis sekitar Kota Kinabalu, Sabah, pihak polis merampas 38 unit komputer, tiga unit mesin simulator dan wang tunai berjumlah RM6,680.

Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan untuk tindakan lanjut.

Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(c), dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Selain itu, tangkapan melibatkan warga asing turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa.