KUCHING, 19 Disember - Sarawak perlu mengambil iktibar serta belajar daripada pengalaman lalu dalam menangani peningkatan kes baharu COVID-19 sejak kebelakangan ini walaupun dilihat tidak serius.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dalam kenyataan di Facebook meminta masyarakat memainkan peranan masing-masing dengan melakukan penjagaan kendiri.
Katanya, pengambilan dos penggalak kedua amat digalakkan. Ini termasuk menggunakan pelitup muka di tempat awam dan sesak selain mengamalkan kebersihan diri.
"Individu yang berisiko tinggi seperti warga emas, pesakit kanser, penghidap asma, diabetes dan obesiti untuk mendapatkan dos penggalak kedua vaksin COVID-19 jika belum berbuat demikian," katanya.
Datuk Amar Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan bahawa hanya 3.6 peratus rakyat di negeri ini telah mendapatkan dos penggalak kedua.
Katanya, walaupun negeri ini merupakan yang tertinggi menerima vaksin dos pertama, kedua dan dos penggalak pertama.
Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang medianya berkata sebanyak 20, 696 kes dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Peningkatan kes COVID-19 dari seluruh negara itu direkodkan dari 10 hingga 16 Disember lepas.
Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 62.2 peratus berbanding 12, 757 kes minggu sebelumnya.
Bagaimanapun menteri itu memberitahu keadaan semasa kes COVID-19 di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada susulan pengukuhan Pelan Pengurusan COVID-19 KKM.