
KUALA LUMPUR, 27 April – Ancaman teknologi ‘deepfake’ yang semakin canggih dan sukar dikesan kini menjadi kebimbangan utama, bukan sekadar kebimbangan tempatan, malah cabaran global yang membawa kesan kepada pelbagai negara.
- Trend penyalahgunaan AI meningkat, memerlukan tindakan bersepadu dan pendidikan literasi digital.
- MCMC menurunkan 43,618 kandungan akaun palsu dan bahan penyamaran antara 1 Jan hingga 31 Mac.
- Kerajaan memperkasa pengamal media melalui latihan AI; 41 daripada 55 kursus dilaksanakan, melibatkan 1,552 peserta.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, trend penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menunjukkan peningkatan yang membimbangkan dan memerlukan tindakan bersepadu semua pihak.
Tambahnya, Malaysia terus komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam memerangi maklumat palsu, termasuk mewujudkan piawaian yang lebih jelas mengenai penggunaan Kecerdasan Buatan dalam kandungan media.
“Trend penipuan atau scam ini dilihat semakin ketara. Jadi sangat penting untuk kita bekerjasama dengan media bagi mendidik masyarakat tentang literasi digital,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Konfederasi Wartawan ASEAN (CAJ) ke-21.
Menurut beliau, penggunaan AI kini membolehkan pihak tidak bertanggungjawab menghasilkan kandungan palsu yang sangat meyakinkan, termasuk manipulasi suara dan wajah individu bagi tujuan penipuan.
Terdapat kes melibatkan penyamaran tokoh terkenal dan pemimpin negara dalam skim penipuan kewangan, sekali gus menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap maklumat digital.
Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan peningkatan mendadak kandungan berkaitan penipuan yang diturunkan platform digital.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac tahun ini sahaja, sebanyak 43,618 kandungan melibatkan akaun palsu dan bahan penyamaran telah diambil tindakan.
Dalam pada itu, Teo berkata kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pengamal media melalui latihan AI agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran digital.
Program latihan yang dilaksanakan menerusi Tun Abdul Razak Broadcasting and Information Institute telah menunjukkan perkembangan positif sejak diperkenal pada 2024.
Sebanyak 55 kursus dirancang dengan 41 daripadanya telah dilaksanakan setakat 31 Mac lalu, melibatkan 1,552 peserta.
Menurutnya, inisiatif tersebut penting bagi memastikan pengamal media bukan sahaja mahir menggunakan teknologi AI, malah mampu menilai dan mengurus risiko berkaitan penyebaran maklumat palsu.