Harga lembu korban naik 10 peratus di Kelantan

Lembu ternakan di Khir Bitara Farm/RTM

TUMPAT, 27 April- Cuaca panas berpanjangan di Kelantan menyebabkan harga lembu korban di negeri itu bagi Aidiladha tahun ini meningkat kira-kira 10 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga lembu kini antara RM5,500 hingga RM6,600 seekor, naik dari RM5,000 hingga RM6,000 sebelum ini.
  • Peningkatan kos operasi seperti bekalan makanan ternakan dan harga diesel menyumbang kepada kenaikan harga lembu.
  • Rumput berkurangan menyebabkan pengusaha terpaksa dapatkan jerami dari Kedah dan menanggung kos pengangkutan lebih tinggi.
  • Ladang 14 hektar memelihara lebih 500 ekor lembu, 200 diperuntuk untuk korban dan 20 ekor telah ditempah setakat ini.

Pengusaha Khir Bitara Farm, Muhammad Muzakkir Mansor berkata harga lembu kini mencecah antara RM5,500 hingga RM6,600 seekor berbanding sekitar RM5,000 hingga RM6,000 sebelum ini.

Beliau berkata peningkatan kos operasi khususnya bekalan makanan ternakan dan harga diesel juga menjadi antara faktor utama kenaikan berkenaan.

“Musim kemarau menyebabkan rumput berkurangan, kita terpaksa mendapatkan bekalan dari luar seperti jerami dari Kedah. Kos pengangkutan juga meningkat,” katanya.

Selain itu, penjagaan rapi termasuk pemberian vitamin tambahan diperlukan bagi memastikan kesihatan ternakan kekal baik terutama dalam keadaan cuaca panas.

Muhammad Muzakkir Mansor/ RTM

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 20 ekor lembu telah ditempah, namun sambutan masih belum rancak.

“Permintaan tahun ini dilihat sedikit perlahan berbanding tahun lalu, namun trend pembelian biasanya akan meningkat apabila hampir Aidiladha,” katanya.

Ladang seluas 14 hektar di Kampung Pulau Raja di sini yang diusahakan bersama rakan kongsinya, Che Mohd Faizul Che Abdullah itu kini menempatkan lebih 500 ekor lembu, dengan kira-kira 200 ekor diperuntukkan bagi ibadah korban.