Melaka bakal perkenal caruman khairat kematian untuk 1,000 nelayan berdaftar

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh

AYER KEROH, 27 April – Kerajaan Negeri Melaka bakal perkenal caruman khairat kematian kepada kira-kira 1,000 nelayan berdaftar di negeri itu sebagai langkah bagi melindungi golongan tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bajet RM1 juta diumumkan sebelum ini merangkumi pembangunan dan kebajikan nelayan.
  • Kebanyakan nelayan tiada perlindungan PERKESO atau insurans lain, menyebabkan keluarga terdedah jika kehilangan pencari nafkah.
  • Kerajaan negeri akan membiayai caruman sepenuhnya menerusi peruntukan bajet untuk membantu meringankan beban keluarga.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia akan dilaksanakan menerusi peruntukan yang tersedia untuk golongan nelayan.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri mengumumkan bajet RM1 juta bagi tujuan pembangunan nelayan dan ia turut merangkumi kebajikan golongan tersebut.

“Insya-Allah, melalui peruntukan bajet tersebut, nelayan-nelayan kita akan mencarum khairat kematian untuk semua nelayan berdaftar. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan nelayan tidak mempunyai perlindungan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau insurans lain.

“Justeru, sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, ia pasti memberi kesan kepada anak-anak serta tanggungan mereka. Dengan adanya skim khairat kematian ini, sekurang-kurangnya beban keluarga dapat diringankan.

“Caruman khairat kematian itu akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui peruntukan bajet berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan pertama, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka ke 15 di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Melalui bantuan ini, keluarga nelayan yang terlibat sekurang-kurangnya dapat menerima sokongan kewangan awal bagi menghadapi situasi sukar apabila kehilangan pencari nafkah utama.