Kempen “Tiada Visa, Tiada Haji” dilancar, pastikan keselamatan jemaah haji negara

Foto RTM

PUTRAJAYA, 27 April – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan melancarkan kempen “Tiada Visa, Tiada Haji” oleh Lembaga Tabung Haji dalam usaha memastikan hanya jemaah yang memiliki visa sah dibenarkan menunaikan ibadah haji.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kempen bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah haji negara.
  • Rakyat dilarang menunaikan haji secara persendirian atau 'DIY' untuk mengelakkan sebarang permasalahan.
  • Penggunaan visa pelancongan, perniagaan, pekerjaan atau umrah bagi tujuan haji adalah kesalahan undang-undang Arab Saudi.
  • Pelanggaran boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga 100,000 Riyal.

Tujuan utama kempen tersebut adalah memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah haji negara.

Beliau yang ditemui media pada Majlis Perhimpunan Agensi Di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama ) menegaskan, bahawa rakyat Malaysia tidak dibenarkan melakukan ibadah haji ke Arab Saudi secara persendirian atau ‘DIY’ bagi mengelak sebarang permasalahan.

Penggunaan visa selain visa haji iaitu, visa pelancongan, perniagaan, pekerjaan atau umrah untuk tujuan menunaikan haji adalah satu kesalahan di sisi undang-undang Arab Saudi.

“Kempen ini dilaksanakan untuk kemaslahatan semua jemaah haji serta keselamatan umat Islam secara keseluruhan. Kita ingin mengelakkan berlakunya kes penipuan dan aktiviti scam yang boleh merugikan umat Islam di Malaysia.

“Jadi kempen ini, kita juga mahu memastikan setiap urusan dan pengurusan haji dilaksanakan secara tersusun, teratur dan mampu memenuhi keperluan serta harapan para jemaah haji kita,” katanya.

Individu yang melanggar peraturan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga 100,000 Riyal Arab saudi (SAR).

Terdahulu, beliau menyampaikan amanat kepada hampir 1,000 kakitangan berhubung pencapaian pentadbiran dan pengurusan masa depan Hal Ehwal Agama.

Beliau mahu melihat impak dan keberkesanan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.