Tiada laporan kes buli diterima – Exco Perak

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah/ Foto RTM

IPOH, 27 April – Kerajaan Negeri Perak menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kes buli di negeri ini, susulan dakwaan melibatkan seorang pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Belum menerima laporan lengkap mengenai dakwaan buli; siasatan menunggu dokumen rasmi.
  • Setiap aduan akan diteliti mengikut prosedur dan peraturan sebelum tindakan lanjut diambil.
  • SOP mensyaratkan laporan ke Pejabat Pendidikan Daerah dalam 1 hari, siasatan awal 3 hari, laporan penuh 7 hari.
  • Kejadian tular melibatkan pelajar MRSM; Pengerusi MARA menegaskan tindakan tegas akan diambil.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan lengkap berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata setiap aduan akan diteliti mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Kita lihat dulu keadaan laporan mungkin daripada pihak Jabatan Pendidikan dan kalau terbukti wujudnya pelanggaran dan berlakunya kes buli maka proses untuk tindakan-tindakan selanjutnya akan dilakukan berdasarkan pekeliling dan peraturan sedia ada.

“Sebab dalam prosedur operasi standard (SOP) untuk menguruskan laporan isu disiplin murid ini, kes mesti dilaporkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam masa 1 hari, siasatan awal 3 hari dan laporan penuh 7 hari. Namun, jika kes ini tidak dilaporkan, Jabatan Pendidikan Negeri akan mengambil tindakan berdasarkan kepada pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menghadiri program Bicara “One Third High Terima Kasih Cikgu Bersama YB Datuk Khairudin Abu Hanipah” dan Baiah SPM 2026 di Ipoh.

Sabtu lalu, tular di media sosial Threads mengenai kejadian buli melibatkan seorang pelajar tingkatan satu di sebuah MRSM di Perak, selepas pakaian dan beberapa barangan peribadinya didakwa dirosakkan.

Perkongsian itu turut mendapat perhatian Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang bentuk buli dalam institusi di bawah seliaannya.