
KUALA LUMPUR, 27 April – Malaysia perlu berwaspada terhadap ancaman siber baharu susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).
- Daya tahan negara mesti diperkukuh melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk menghadapi ancaman siber berasaskan AI.
- Model AI termaju mampu mengenal pasti kelemahan kritikal dalam perisian, menimbulkan kebimbangan serius bagi kerajaan, pengawal selia dan agensi keselamatan.
- Kerajaan sedang membangunkan tindak balas untuk memastikan daya tahan infrastruktur digital sambil meneruskan agenda transformasi digital negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daya tahan negara harus diperkukuh antaranya melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) berikutan keupayaan AI yang terus berkembang.
“Kemunculan model AI yang semakin canggih termasuk mampu mengenal pasti kelemahan dalam sistem perisian yang digunakan secara meluas, telah menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan kerajaan, pengawal selia dan agensi keselamatan di seluruh dunia.
“Kerajaan, pengawal selia dan agensi keselamatan kini sedang mengkaji implikasi keupayaan AI termaju terhadap daya tahan infrastruktur yang menjadi asas kepada kehidupan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Huawei AI Lab dan Pusat Inovasi hari ini.
Jelas beliau lagi, walaupun kebimbangan mengenai impak teknologi bukanlah sesuatu perkara baharu, dunia kini telah melepasi ambang yang tidak boleh diabaikan.
Ia memandangkan perkembangan terkini menunjukkan bahawa sistem AI mampu mengenal pasti kelemahan kritikal dalam perisian yang digunakan secara meluas.
Perdana Menteri turut memaklumkan, Malaysia sedang membangunkan tindak balasnya bagi memastikan daya tahan dalam menghadapi ancaman digital yang sentiasa berubah di samping terus memajukan agenda transformasi digitalnya.