Ribut kuat badai Kedah, MRSM Pendang antara terjejas

Sebahagian bumbung MRSM Pendang tercabut akibat dibadai ribut

PENDANG, 27 AprilSebahagian bangunan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang terjejas dalam kejadian ribut kuat yang melanda beberapa daerah di Kedah pada petang Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribut kira-kira pukul 6 petang menyebabkan banyak pokok tumbang di beberapa kawasan.
  • Sehingga pukul 9.30 malam, 30 buah rumah di tujuh kampung dalam tiga mukim terjejas.
  • Di Bandar Baharu, Mukim Serdang dilanda ribut; Klinik Kesihatan dan Masjid Al-Fateh turut terjejas.
  • Kerja lapangan memotong pokok tumbang dan membersihkan kawasan giat dijalankan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff dalam satu kenyataan memaklumkan, ribut yang berlaku kira-kira pukul 6 petang itu turut menyebabkan banyak pokok tumbang.

Setakat pukul 9.30 malam, sebanyak 30 buah rumah di tujuh buah kampung di tiga mukim di daerah Pendang terjejas.

Kampung yang terlibat di Mukim Air Puteh ialah Kampung Paya Palas dan Kampung Paya Kerechut; Mukim Padang Pusing melibatkan Kampung Banggol Kambing; manakala Mukim Ayer Puteh melibatkan Kampung Banggol Masjid, Kampung Gajah Mati dan Kampung Paya Mat Inson.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, ribut turut melanda Mukim Serdang di daerah Bandar Baharu kira-kira pukul 3.30 petang.

Antara lokasi dan premis terjejas ialah Kampung Batu 18 dan Pekan Serdang, selain Klinik Kesihatan dan Masjid Al-Fateh di Serdang.

Kerja-kerja lapangan termasuk memotong pokok tumbang dan membersihkan kawasan sekitar giat dijalankan.