Konflik Asia Barat: Malaysia hargai pendirian dasar berkecuali EU

Foto RTM

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Malaysia menyatakan penghargaan kepada Kesatuan Eropah (EU) atas pendirian mereka untuk tidak menyertai pakatan Amerika Syarikat-Israel dalam konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik memberi impak luas; negara Asia Tenggara terjejas lebih kerana bekalan minyak mentah banyak dihantar ke rantau ini.
  • Bantahan keras terhadap kempen anti minyak sawit di Eropah sebagai diskriminasi perdagangan tidak berasas.
  • Malaysia dan EU hampir memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan merancakkan perdagangan dua hala.

Penghargaan itu disampaikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam mesyuarat dua hala bersama Wakil Tinggi EU bagi Hubungan Luar dan Dasar Keselamatan, Kaja Kallas di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-EU (AEMM) ke-25 di sini, hari ini.

“Konflik yang tercetus ini menyebabkan semua negara merasakan kesannya. Saya beritahu tadi bahawa kesannya lebih banyak berlaku di negara-negara Asia Tenggara kerana bekalan minyak mentah banyak dihantar ke rantau ini.

“Kita menghargai pendirian negara Eropah untuk tidak masuk campur. Jika mereka campur tangan, ia akan menyulitkan lagi perang ini untuk ditamatkan,” katanya.

Dalam mesyuarat berkenaan juga, Kuala Lumpur membantah keras kempen anti-minyak sawit di Eropah yang dilihat sebagai diskriminasi perdagangan tidak berasas.

“Saya katakan bahawa itu tidak adil kerana melabelkan sesuatu makanan itu mengandungi minyak sawit….ia melanggar etika perdagangan dan Malaysia mempunyai standard yang tinggi. Muka bumi kita lebih 55 peratus masih lagi diliputi hutan tropika dan kita tidak memusnahkan hutan untuk menanam kelapa sawit,” katanya.

Datuk Seri Mohamad turut memaklumkan, Malaysia dan EU kini pada peringkat akhir untuk menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan memuktamadkan perkongsian komprehensif dalam usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dan hubungan dua hala.

Perkembangan positif itu disebabkan EU kini melihat rantau Asia Tenggara sebagai sebuah blok strategik dan penting berikutan pengenaan tarif secara unilateral oleh Amerika Syarikat serta ketidakstabilan akibat konflik Rusia-Ukraine.

Menurut beliau, Malaysia mahu memuktamadkan segera perjanjian itu supaya boleh menjadi pemangkin dalam usaha merancakkan perdagangan antara Malaysia dengan EU.