
KUALA LUMPUR, 27 April – Malaysia tidak berhasrat menjadi sekadar pengguna kecerdasan buatan (AI), sebaliknya komited membina kerjasama strategik bagi memperkukuh keupayaan negara dalam pembangunan teknologi serta bersaing dalam ekonomi digital global.
- Transformasi digital mesti berpaksikan prinsip MADANI, mengutamakan rakyat, kesaksamaan dan keadilan sosial.
- Kemajuan teknologi perlu diurus seimbang supaya tidak menimbulkan ketidaksamaan sosial lebih ketara.
- Pelancaran Makmal AI dan Pusat Inovasi Huawei menunjukkan sokongan kepada pembangunan inovasi dan kapasiti teknologi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berpaksikan prinsip Malaysia MADANI, kerajaan memberi penekanan kepada agenda berteraskan rakyat dalam memacu kemajuan ekonomi dan kemakmuran yang berasaskan kesaksamaan serta keadilan sosial.
“Seiring dengan nilai teras MADANI, penekanan kita adalah kepada rakyat dengan matlamat memupuk kemajuan ekonomi dan kemakmuran berlandaskan kesaksamaan serta keadilan sosial.
“Malaysia mahu bekerjasama dengan rakan strategik untuk membina keupayaan, di samping bersaing dengan penuh keyakinan dalam ekonomi digital global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Makmal AI dan Pusat Inovasi Huawei, hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar menegaskan usaha transformasi digital tidak boleh hanya didorong oleh kemajuan material semata-mata kerana ia berisiko mewujudkan ketidaksamaan sosial yang lebih ketara sekiranya tidak diurus dengan baik.