
KUALA LUMPUR, 27 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak untuk memberi ruang kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk
Seri Aminuddin Harun mengumumkan perkembangan politik di negeri itu.
- 14 ADUN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
- Keputusan penarikan sokongan dibuat secara sebulat suara oleh 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan.
- Keputusan itu didakwa susulan krisis adat yang sedang berlaku di negeri berkenaan.
- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bertemu Perdana Menteri untuk membincangkan isu itu.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut politik di Negeri Sembilan susulan kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), menarik sokongan terhadap Datuk Seri Aminuddin.
“Kita akan umum kemudian,” katanya ringkas ketika ditemui selepas melancarkan Makmal Kecerdasan Buatan (AI) dan Pusat Inovasi Huawei hari ini.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu berkaitan tindakan 14 ADUN berkenaan.
Sebelum itu, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jaluddin Alias mendedahkan, keputusan 14 ADUN menarik sokongan dibuat secara sebulat suara membabitkan kesemua 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan, susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.