
KUALA LUMPUR, 27 April – Peruntukan RM10 bilion yang diumumkan kerajaan berupaya memperkukuh aliran tunai Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam menghadapi kenaikan kos operasi semasa.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Mohd Azamanizam Baharom berkata, kemudahan khas itu dapat menstabilkan kedudukan kewangan syarikat yang terjejas dengan sokongan jaminan pembiayaan yang lebih menyeluruh.
- Kemudahan khas dan jaminan pembiayaan menyokong kestabilan kewangan syarikat PMKS yang terjejas oleh tekanan kos operasi.
- Cadangan mewujudkan hab penyelesaian pragmatik mempercepat proses permohonan dan mempermudah dokumentasi bagi PMKS.
- Sokongan membantu mengekalkan margin keuntungan yang tertekan akibat lonjakan kos bahan api sehingga 70 peratus.
- Penangguhan e-invois bagi syarikat berpendapatan RM1 juta hingga RM5 juta sehingga 31 Disember 2027 memberi kelegaan dan masa penyesuaian.
“Jika dapat diwujudkan satu hab atau mekanisme penyelesaian yang lebih pragmatik dan dinamik, setiap permohonan PMKS terhadap dana yang diumumkan kerajaan dapat dipermudah dan dipercepatkan.
“Malah, jika aspek dokumentasi dapat diringankan, ia akan sangat membantu PMKS dalam keadaan mencabar ketika ini,” katanya kepada pemberita RTM.
Menurut beliau, sokongan itu juga membantu mengekalkan margin keuntungan syarikat yang semakin tertekan susulan lonjakan kos bahan api yang kini menyumbang sehingga 70 peratus daripada keseluruhan kos operasi.
Sementara itu, katanya, penangguhan pelaksanaan e-invois bagi syarikat berpendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta sehingga 31 Disember 2027 turut memberi kelegaan kepada PMKS.
Terutama, dalam memberi ruang kepada usahawan untuk menyesuaikan operasi dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, selain membantu mengekalkan kecairan kewangan syarikat.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan bagi PMKS yang terkesan akibat tekanan kos susulan krisis bekalan global.
Sokongan itu meliputi RM5 bilion dalam bentuk jaminan di bawah skim SJPP dan RM5 bilion kemudahan khas di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).