
KUALA LUMPUR, 27 April – Malaysia menyokong usaha ASEAN untuk memperkukuh keterjaminan tenaga serantau susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan bekalan.
- Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Tenaga ASEAN bincang kesan situasi Asia Barat terhadap kestabilan tenaga serantau.
- Malaysia kongsikan langkah bersasar: rasionalisasi subsidi, waktu bekerja fleksibel dan penggalakan amalan penjimatan tenaga.
- Perlu perkukuh mekanisme sedia ada, luaskan perkongsian kepakaran dan selaraskan langkah tindak balas terhadap gangguan bekalan.
- Kerjasama erat antara negara ASEAN melalui aspirasi Grid Tenaga ASEAN (APG) penting bagi keterjaminan dan ketahanan tenaga serantau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu dibincangkan semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Tenaga ASEAN secara dalam talian hari ini yang menumpu kepada kesan situasi semasa di Asia Barat terhadap kestabilan tenaga di rantau ini.
“Malaysia menyokong penuh usaha ASEAN untuk memperkukuh mekanisme sedia ada, memperluas perkongsian kepakaran serta menyelaras langkah tindak balas dalam menghadapi sebarang gangguan akibat ketidaktentuan geopolitik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Malaysia turut berkongsi beberapa langkah bersasar yang sedang dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.
Antaranya rasionalisasi subsidi, pengenalan waktu bekerja fleksibel serta penggalakan amalan penjimatan tenaga dalam kalangan pengguna.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama lebih erat antara negara anggota ASEAN dalam memperkukuh keterjaminan tenaga serantau melalui aspirasi Grid Tenaga ASEAN (APG) yang dipersetujui bersama tahun lepas.
“Setiap usaha di peringkat nasional perlu selari dengan visi serantau bagi memastikan tindak balas lebih berkesan terhadap sebarang cabaran bekalan tenaga dengan kerjasama erat dan bersepadu antara negara anggota menjadi kunci kepada ketahanan tenaga ASEAN,” katanya.