
KUALA LUMPUR, 27 April – Malaysia meletakkan sasaran sekurang-kurangnya enam pingat emas pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia 2026 edisi ke-58, sekali gus mengintai gelaran juara keseluruhan di laman sendiri.
- Jawatankuasa Pemilihan MSN bersama MBBF menjalankan pemilihan atlet secara giat.
- Barisan atlet elit dari kejohanan dunia hampir pasti mengisi slot utama pasukan negara.
- Sasar menghantar 30 hingga 40 atlet untuk peluang pingat dan pengalaman muka baharu di pentas antarabangsa.
- Cabaran daripada India serta wakil Asia Barat dan Selatan; kejohanan 4-10 Ogos 2026 di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan.
Jurulatih kebangsaan, Datuk Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah, memaklumkan proses pemilihan atlet kini giat dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF).
Menurut beliau, barisan atlet elit yang mencatat keputusan cemerlang pada kejohanan dunia tahun lalu hampir pasti mengisi slot utama pasukan negara.
Pada masa sama, peluang turut dibuka kepada bakat baharu termasuk juara kebangsaan serta atlet yang berada dalam kelompok tiga terbaik negara.
“Kita berhasrat menghantar jumlah atlet maksimum kerana penyertaan lebih ramai mampu meningkatkan peluang meraih pingat, seterusnya memburu gelaran juara keseluruhan.
“Jika berkesempatan, kita menyasarkan antara 30 hingga 40 atlet. Ini juga ruang terbaik untuk muka baharu menimba pengalaman di pentas antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian kejohanan berkenaan di Seri Kembangan.
Walaupun sasaran awal dilihat realistik, beliau optimis skuad negara berupaya melangkaui pencapaian tersebut berdasarkan prestasi semasa atlet.
Dalam pada itu, cabaran dijangka hadir daripada kontinjen India yang sering menghantar penyertaan terbesar, selain wakil Asia Barat dan Asia Selatan yang terkenal dengan kekuatan fizikal.
“India sememangnya dikenali sebagai kuasa besar dalam sukan ini, malah pernah menghantar sehingga 90 atlet sebelum ini. Bagi edisi kali ini, mereka dijangka membawa sekitar 50 hingga 60 peserta,” ujarnya.
Kejohanan yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 10 Ogos 2026 di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan itu bakal menjadi medan ujian penting buat atlet negara sebelum menghadapi Kejohanan Dunia di Laos pada Disember ini.
Setakat ini, sebanyak 42 negara mengesahkan penyertaan dengan 381 peserta telah mendaftar.
Pihak penganjur menyasarkan jumlah keseluruhan mencecah 400 peserta, melibatkan antaranya Hong Kong, Thailand, Indonesia, Myanmar dan India.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan ini ialah pada tahun 2000 di Melaka.