Jepun longgarkan peraturan eksport senjata, cetus kebimbangan serantau

Foto Youtube

TOKYO, 21 April – Jepun mengumumkan pelonggaran besar terhadap peraturan eksport senjata yang telah diamalkan selama beberapa dekad, sekali gus membuka ruang kepada penjualan senjata maut ke luar negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perubahan dasar dianggap penting untuk memperkukuh keupayaan pertahanan dan memperluas peranan Jepun dalam pasaran senjata global.
  • Kerajaan berkata ia langkah respons kepada perubahan keselamatan serantau, termasuk peningkatan aktiviti ketenteraan China serta ancaman Korea Utara dan Rusia.
  • Keputusan mencetuskan kebimbangan domestik dan antarabangsa: bantahan awam, sokongan menurun, serta reaksi keras China.

Langkah itu dilihat sebagai perubahan dasar penting ketika Tokyo berusaha memperkukuh keupayaan pertahanan dan memperluas peranan dalam pasaran senjata global.

Jurucakap kerajaan, Minoru Kihara berkata, keputusan tersebut dibuat susulan perubahan pantas dalam landskap keselamatan serantau, termasuk peningkatan aktiviti ketenteraan China serta ancaman berterusan dari Korea Utara dan Rusia.

“Keputusan ini dibuat ketika perubahan dalam persekitaran keselamatan di sekitar negara kita berlaku dengan pantas, dan ia bertujuan memastikan keselamatan Jepun sambil menyumbang lebih kepada keamanan dan kestabilan di rantau serta komuniti antarabangsa.

“Hari ini, tiada negara mampu menjamin keselamatan sendiri secara bersendirian,” katanya.

Perdana Menteri Sanae Takaichi turut memaklumkan bahawa pindaan baharu itu membolehkan pemindahan hampir semua jenis peralatan pertahanan, berbanding sebelum ini yang terhad kepada kategori bukan maut seperti operasi mencari dan menyelamat, pengangkutan serta pengawasan.

Namun, keputusan itu mencetuskan reaksi keras dari China, yang menyuarakan kebimbangan serius dan berikrar menentang apa yang disifatkan sebagai langkah pemiliteran baharu Jepun.

Di dalam negara, langkah tersebut turut menimbulkan perdebatan.

Sebahagian rakyat Jepun bimbang ia menghakis prinsip pasifisme yang sekian lama menjadi identiti negara itu sejak Perang Dunia Kedua.

Tinjauan penyiar nasional NHK menunjukkan lebih separuh responden menentang langkah berkenaan, manakala hanya sekitar satu pertiga menyokong.

“Sebagai anak kelahiran Hiroshima, saya dibesarkan dengan nilai kepentingan keamanan, dan saya percaya kengerian serta kemusnahan bom atom masih relevan hingga hari ini,” kata Junichi Kikuta, 56, kepada AFP, menjelaskan bahawa beliau menentang langkah tersebut.

Aktivis keamanan juga mengadakan bantahan, dengan amaran bahawa perubahan dasar itu boleh menjejaskan reputasi Jepun sebagai negara yang menolak peperangan.

Pakar pertahanan Heigo Sato bagaimanapun berpendapat langkah ini dapat mengukuhkan kerjasama dengan sekutu serta memastikan kesiapsiagaan ketenteraan melalui rantaian bekalan yang lebih kukuh.

Sejak 1976, Jepun mengenakan larangan ketat terhadap eksport senjata, namun dasar itu dilonggarkan secara berperingkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Di bawah peraturan baharu, eksport hanya akan dibenarkan kepada negara yang mematuhi prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Perubahan ini dilihat sebagai titik perubahan dalam dasar keselamatan Jepun, dengan implikasi besar terhadap keseimbangan kuasa di rantau Asia-Pasifik.-AFP