
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Kelemahan karakter dan ketahanan mental antara faktor utama pemain badminton negara gagal tampil konsisten di pentas antarabangsa.
- Malaysia tidak kekurangan bakat; pemain setanding dengan kuasa besar badminton dunia.
- Ramai pemain mudah goyah ketika berdepan tekanan dan kesukaran, menjejaskan prestasi kejohanan besar.
- Hanya beberapa pemain seperti Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei pamer konsistensi tahap tinggi.
- Nova mahu ubah mentaliti; latihan berat dan persediaan menghadapi tekanan diperlukan untuk jadi juara.
Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, Malaysia tidak ketandusan bakat malah memiliki pemain yang setanding dengan kuasa besar badminton dunia, namun masih gagal menterjemahkan potensi dimiliki.
“Saya rasa Malaysia tidak kekurangan bakat. Kita mempunyai ramai pemain bagus yang tidak kalah jika dibandingkan dengan Indonesia atau China, cuma dari segi karakter mereka masih kurang kental,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad badminton negara di Akademi badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Nova berkata, pemain negara masih mudah goyah apabila berdepan tekanan dan kesukaran di gelanggang sehingga menjejaskan prestasi dalam kejohanan besar.
Beliau turut mengakui belum ramai pemain mampu mengekalkan tahap permainan tinggi secara konsisten seperti dipamerkan pasangan utama negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
“Kita perlu ubah pola pemikiran mereka untuk menjadi juara. Kalau mahu jadi juara, memang perlu melalui latihan yang berat.
“Karakter mereka bukan tidak kuat, tetapi belum cukup kuat dan saya harap mereka akan menjadi lebih kental selepas ini,” katanya.
Sehubungan itu, Nova mahu pemain mengubah mentaliti serta lebih bersedia mengharungi tekanan sepanjang latihan dan pertandingan jika mahu bersaing di tahap tertinggi dunia.