
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Peminat bola sepak tempatan berpeluang menyaksikan legenda Liverpool, Steven Gerrard pada perlawanan All Star Legends di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Oktober ini.
- Gerrard akan buat keputusan muktamad mengenai penyertaannya dalam 2 hingga 3 minggu lagi.
- Gerrard berharap dapat hadir dan menjadi sebahagian acara, menegaskan beliau sentiasa mahu menang sebagai bekas atlet.
- Perlawanan pameran menghimpunkan All Star Premier Legends menentang All Star World Legends, dijangka menarik ribuan peminat.
- Senarai pemain termasuk Jaap Stam, Eidur Gudjohnsen, Ian Harte, Dida, Javier Saviola dan Maicon; maklumat tiket akan diumumkan kemudian.
Bekas pemain tengah England itu bagaimanapun memaklumkan, keputusan muktamad mengenai penyertaannya akan diketahui dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.
Gerrard berharap dapat menyertai perlawanan pertunjukan itu yang bakal menghimpunkan beberapa bekas bintang bola sepak melibatkan legenda Manchester United dan Liverpool.

“Saya rasa ini adalah acara yang hebat dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Saya berharap dapat hadir dan menjadi sebahagian daripadanya.
“Saya akan ada keputusannya dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi. Sebagai bekas atlet, tidak kira apa sukan yang saya main, ping-pong, pool, snuker, golf atau paddle…saya pastinya sentiasa ingin menang,” katanya pada sidang media All Star Legends di sini hari ini.
Perlawanan yang menemukan All Star Premier Legends dan All Star World Legends bakal menghimpunkan beberapa legenda bola sepak terkenal dunia menerusi perlawanan pameran yang dijangka menarik ribuan peminat.
Pemain yang diperkenalkan bagi kedua-dua pasukan termasuk Jaap Stam, Eidur Gudjohnsen dan Ian Harte yang mewakili AllStar Premier Legends.
Manakala AllStar World Legends akan dibarisi bintang antarabangsa seperti Dida, Javier Saviola dan Maicon.
Senarai penuh pemain bersama maklumat tiket acara akan diumumkan menjelang tarikh perlawanan.