
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Isu disiplin melibatkan pemain badminton kebangsaan tidak boleh lagi dipandang ringan, terutama apabila teguran dan peluang untuk berubah sudah berkali-kali diberikan.
- Isu disiplin pemain tidak boleh dipandang ringan; teguran dan peluang berubah mesti diambil serius.
- Pemain yang berulang kali menerima amaran dan tidak berubah sepatutnya dikeluarkan, amaran ketiga dianggap titik had.
- Disiplin menentukan kejayaan dan imej negara; peraturan untuk membantu pemain capai tahap tertinggi, bukan menghukum.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky, masih terdapat segelintir pemain yang gagal menunjukkan perubahan positif walaupun sudah menerima pelbagai peringatan daripada pihak kejurulatihan.
“Kalau amaran sudah diberikan berkali-kali, seseorang pemain itu sepatutnya sedar dan berubah. Kalau sudah masuk amaran ketiga, seharusnya dia tidak lagi berada di sini.
“Jangan sampai amaran ketiga, keempat atau lebih daripada itu terus berulang. Mungkin amaran ketiga masih boleh dipertimbangkan, tetapi kalau sudah sampai 10 kali, itu seolah-olah kita bercakap dengan tembok, bukan manusia.” tegasnya pada sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Lee Chong Wei yang mahu isu disiplin dalam skuad kebangsaan diberi perhatian lebih serius.
“Saya bersetuju sepenuhnya dengan Datuk Seri Chong Wei. Disiplin akan menentukan sama ada kita boleh berjaya atau tidak pada masa depan,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pemain bahawa mereka kini membawa imej negara dan setiap tindakan sentiasa menjadi perhatian masyarakat.
Menurut beliau, peraturan ditetapkan bukan untuk menghukum pemain, sebaliknya membantu mereka mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.