Kurangkan pemain import, buka ruang bakat tempatan – Muzakkir

Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Kuota pemain import dalam saingan Liga Malaysia perlu dikaji semula bagi mengelakkan bakat muda tempatan terus terpinggir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangkan kurangkan kuota pemain import dari enam kepada tiga supaya pemain tempatan mendapat lebih peluang beraksi.
  • Kuota import tinggi melebarkan jurang antara kelab berkemampuan dan sederhana, menjejaskan keseimbangan liga serta keterujaan penyokong hadir ke stadium.
  • Malaysia tidak kekurangan bakat; pemain muda tenggelam dalam sistem bergantung import, tetapi boleh bangkit dalam satu hingga dua tahun dengan perubahan drastik.

Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, lambakan pemain import ketika ini bukan sahaja mengehadkan peluang pemain tempatan untuk beraksi secara kompetitif, malah dilihat gagal memberi impak besar terhadap kehadiran penyokong ke stadium.

Beliau mencadangkan agar kuota pemain import dikurangkan daripada enam kepada hanya tiga pemain bagi memberi lebih banyak ruang kepada pemain tempatan untuk menyerlah.

“Jika pemain import terlalu ramai, peluang pemain tempatan akan terbantut. Kita perlu melihat semula sejarah pada 2008 apabila pemain import tidak dibenarkan dan dua tahun kemudian Malaysia berjaya menjuarai Piala AFF Suzuki 2010.

“Itu membuktikan pemain tempatan mampu menyerlah jika diberi peluang secukupnya,” katanya kepada RTM di Angkasapuri, Kota Media.

Ahmad Muzakkir turut menyifatkan kuota pemain import yang tinggi hanya melebarkan jurang antara pasukan besar dan sederhana.

Menurutnya, situasi itu memberi kelebihan kepada kelab berkemampuan tinggi untuk membawa masuk pemain import berkualiti.

Situasi itu menyebabkan persaingan liga menjadi kurang seimbang dan menjejaskan keterujaan penyokong untuk hadir ke stadium.

“Hari ini terbukti, walaupun ada sehingga 15 kuota pemain import dan enam dibenarkan beraksi di atas padang, stadium masih tidak penuh kerana penyokong sudah boleh menjangka keputusan perlawanan” katanya lagi.

Meskipun mengakui situasi semasa agak mencabar, beliau optimis bola sepak negara mampu kembali bangkit dalam tempoh satu hingga dua tahun sekiranya perubahan drastik dilaksanakan segera.

Menurutnya, Malaysia tidak pernah ketandusan bakat, sebaliknya ramai pemain muda tempatan kini tenggelam dalam sistem yang terlalu bergantung kepada pemain import.