Ferrari ikat Leclerc dengan kontrak jangka panjang baharu

Pelumba Formula 1, Charles Leclerc /REUTERS

MONACO, 3 Jun – Pelumba Formula 1, Charles Leclerc, disahkan kekal bersama Ferrari untuk beberapa musim akan datang susulan pemeteraian kontrak baharu bersama pasukan berpangkalan di Maranello, Itali.

RINGKASAN BERITA AI
  • Leclerc berkata beliau amat gembira dan Ferrari sentiasa lebih daripada sekadar sebuah pasukan.
  • Leclerc kini menduduki tempat ketiga dalam kedudukan pemandu 2026, mengekori rakan Mercedes Kimi Antonelli dan George Russell.
  • Ferrari tidak mendedahkan tempoh tepat kontrak, hanya menyatakan beliau akan memandu untuk beberapa musim akan datang.

Pengumuman rasmi oleh Ferrari hari ini menamatkan spekulasi mengenai masa depan pelumba berusia 28 tahun kelahiran Monaco itu, yang telah memandu untuk pasukan berkenaan sejak musim 2019 dengan rekod lapan kemenangan perlumbaan.

“Saya amat gembira untuk meneruskan perjalanan ini bersama Scuderia Ferrari HP.

“Bagi saya, Ferrari sentiasa menjadi sesuatu yang lebih besar daripada sekadar sebuah pasukan lumba,” kata Leclerc dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan tersebut.

Pelanjutan kontrak berkenaan ditandatangani ketika Leclerc sedang mempamerkan prestasi konsisten, menyaksikan pemandu itu kini menghuni tangga ketiga dalam kedudukan kejuaraan dunia kategori pemandu bagi musim 2026.

Beliau ketika ini mengekori rapat gandingan pemandu pasukan Mercedes, Kimi Antonelli dan George Russell yang sedang memimpin kejuaraan.

Sepanjang kariernya bersama Ferrari, Leclerc telah membuktikan statusnya sebagai pelumba elit apabila memegang rekod selaku pemandu kedua paling banyak membuat penampilan dalam sejarah Formula Satu (F1) bersama pasukan itu.

Selain itu, beliau juga berada di kedudukan kedua dalam senarai pemenang petak pertama terbanyak dalam sejarah pasukan, di belakang legenda dunia, Michael Schumacher.

Bagaimanapun, pihak Ferrari tidak memperincikan tempoh tepat kontrak baharu berkenaan dan hanya menyatakan bahawa Leclerc akan terus memandu buat pasukan itu untuk “beberapa musim akan datang” dalam kancah kejuaraan dunia. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.