Tiga individu disyaki seludup migran ditahan

Foto Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah

CHANGLUN, 28 Oktober – Dua warga tempatan, termasuk seorang wanita, dan seorang lelaki warga China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran menerusi Op Serkap di Changlun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi hasil risikan dan pemantauan memintas sebuah kenderaan yang dipercayai menuju sempadan negara.
  • Beberapa individu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang (Akta 670) dan Akta Imigresen.
  • Rampasan termasuk lima telefon bimbit, pasport Republik Rakyat China, dua kad pengenalan Malaysia dan sebuah kenderaan.
  • Kegiatan dipercayai menggunakan teksi eksekutif melalui laluan tidak rasmi; bayaran dibuat menerusi transaksi dalam talian.

Ketiga-tiga individu itu ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dalam perjalanan dari Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke sempadan Malaysia-Thailand.

JIM Kedah dalam kenyataan memaklumkan, penahanan dilakukan hasil risikan dan pemantauan sebelum pasukan operasi memintas kenderaan berkenaan yang menghala ke utara.

Hasil pemeriksaan mendapati, dua warga tempatan terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), manakala lelaki warga China itu disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas lima telefon bimbit, sebuah pasport Republik Rakyat China, dua kad pengenalan Malaysia dan sebuah SUV bagi membantu siasatan.

Menurut kenyataan itu, kegiatan berkenaan dipercayai menggunakan perkhidmatan teksi eksekutif untuk membawa warga asing dari Kuala Lumpur ke kawasan sempadan Malaysia-Thailand melalui laluan tidak rasmi atau jalan tikus.

Bayaran bagi perkhidmatan itu dipercayai dibuat menerusi transaksi dalam talian.

JIM Kedah kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti serta mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam penyediaan perkhidmatan membawa warga asing ke sempadan negara secara tidak sah.

Jabatan itu menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran dan pelanggaran undang-undang imigresen.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.