
KUALA NERANG, 28 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden perlanggaran bot di perairan Perlis yang mengorbankan seorang anggotanya, bagi mengenal pasti punca kejadian serta aspek yang memerlukan penambahbaikan.
- Siasatan dalaman dijangka mengambil masa beberapa minggu, memberi tumpuan kepada pematuhan SOP, keselamatan anggota, latihan dan kelengkapan tugas.
- Hasil siasatan akan menjadi asas bagi penilaian semula dan penyusunan semula SOP operasi jika perlu.
- Bedah siasat operasi atau siasatan dalaman akan dilaksanakan untuk mengenal pasti kelemahan dan meningkatkan keselamatan anggota.
- APMM memberi jaminan kebajikan keluarga Allahyarham, termasuk bantuan pendidikan untuk dua anak dan sokongan kepada balu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, siasatan itu dijangka mengambil masa beberapa minggu dengan memberi tumpuan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP), keselamatan anggota, latihan dan kelengkapan ketika bertugas.
Beliau berkata, hasil siasatan berkenaan turut menjadi asas kepada penilaian semula SOP operasi sekiranya terdapat keperluan untuk memperkemas prosedur sedia ada.
“Susulan insiden ini, APMM mungkin akan menyemak semula SOP berkaitan operasi sekiranya perlu. Setiap operasi yang dilaksanakan sememangnya mempunyai SOP tertentu dan anggota sentiasa diingatkan supaya mematuhi prosedur yang ditetapkan.
“Sekiranya berlaku sebarang insiden, bedah siasat operasi (post-mortem) atau siasatan dalaman akan dilaksanakan bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh ditambah baik, khususnya dalam aspek keselamatan anggota ketika menjalankan setiap operasi,”katanya.
APMM turut menyambut baik gesaan Perdana Menteri supaya siasatan menyeluruh dijalankan bagi memastikan punca kejadian dikenal pasti dan langkah pencegahan dapat diambil.
Mohd Zawawi berkata, insiden itu tidak akan mematahkan semangat warga APMM, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus memperkukuh usaha menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberi jaminan kebajikan keluarga anggota yang terkorban akan terus diberi perhatian, termasuk bantuan pendidikan kepada dua anak Allahyarham yang masih bersekolah serta sokongan kepada balunya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas pengebumian jenazah Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, Kuala Nerang, malam tadi.
Allahyarham maut ketika menjalankan operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Kuala Sungai Padang, Perlis, awal pagi Selasa. Jenazah selamat dikebumikan pada pukul 9.45 malam.